Wanita dikenali sebagai Khairun Nisa ditahan selepas dikesan cuba menyamar sebagai pramugari Batik Air. -Foto Kompas
RASA malu terhadap keluarga mendorong seorang wanita berusia 23 tahun bertindak menyamar sebagai pramugari Batik Air ketika menaiki pesawat dari Palembang ke Jakarta, sebelum perbuatannya terbongkar dan dia ditahan pihak keselamatan.Kejadian itu disedari selepas kru penerbangan berasa curiga dengan pakaian seragam yang dipakai wanita berkenaan, yang kelihatan menyerupai uniform pramugari Batik Air, namun mempunyai perbezaan dari segi rekaan. Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Pesuruhjaya Yandri Mono berkata, kru penerbangan kemudian menyoal wanita tersebut, namun jawapan yang diberikan tidak selari dengan prosedur operasi standard (SOP) pramugari sebenar.Susulan itu, wanita berkenaan dibawa untuk pemeriksaan oleh Unit Keselamatan Penerbangan (Avsec) Lapangan Terbang Soekarno-Hatta sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut."Hasil soal siasat mendapati wanita itu bukan kakitangan Batik Air. Dia kemudian dibawa ke balai polis," jelas Yandri.Menurut polis, wanita yang dikenali sebagai Khairun Nisa itu mengaku pernah memohon jawatan sebagai pramugari Batik Air, namun gagal dalam proses pengambilan.Disebabkan rasa malu untuk berterus terang kepada keluarganya di Palembang, dia bertindak berpura-pura bekerja sebagai pramugari.Bagi mengukuhkan pembohongannya, Khairun Nisa membeli pakaian seragam, tag nama dan beg pramugari melalui platform dalam talian untuk meyakinkan ahli keluarganya.Wanita itu turut memaklumkan bahawa dia sebenarnya merancang untuk menukar pakaian sebaik tiba di lapangan terbang, namun disebabkan kesuntukan masa, dia terpaksa menaiki pesawat dengan masih mengenakan pakaian seragam tersebut sepanjang penerbangan.Polis mengesahkan tiada unsur jenayah ditemui dalam kes berkenaan, manakala pihak Batik Air memilih untuk menyelesaikan perkara itu secara baik tanpa membuat sebarang laporan rasmi."Batik Air tidak membuat laporan polis. Namun, wanita itu diminta menandatangani surat pernyataan untuk tidak mengulangi perbuatannya, dan semua pakaian seragam Batik Air yang dipakainya dirampas," ujar Yandri. -Agensi