suria

Bukan kejar jawatan presiden, Didie Alias bantu ikhlas daripada hati... “Saya pernah susah, tak mahu orang lain lalui nasib sama”

Didie (kiri) sentiasa berada di samping rakan-rakan yang memerlukan bantuan.

PELAKON Didie Alias tampil memberi respons terhadap pujian netizen yang menyifatkannya sebagai antara individu terawal tampil menghulurkan bantuan dan sokongan kepada rakan artis yang berdepan kesusahan.

Didie atau Nur Fadzilah Ali, 55, berkata tindakannya itu bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya lahir daripada pengalaman hidupnya sendiri yang pernah melalui detik sukar tanpa bantuan sesiapa.

"Saya pernah alami perkara sama (kesusahan) tapi masa itu saya tunggu hingga tiada orang datang bantu. 

Didie ikhlas memberikan bantuan kepada orang ramai.

Didie ikhlas memberikan bantuan kepada orang ramai.

"Waktu itu saya dah rasa agak sukar untuk dapatkan sumbangan dan bantuan. Saya cuba untuk buat orang lain tidak alami nasib yang sama seperti saya. 

"Saya cuba ringankan beban semua walaupun saya bukanlah kaya. Sekadar membantu bagi kelangsungan hidup mereka," katanya ketika dihubungi mStar. 

Di sebalik keprihatinannya yang konsisten terhadap kebajikan rakan-rakan industri seni, ada segelintir pihak mencadangkan agar Didie dilantik sebagai presiden persatuan artis.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Biarlah saya saja yang tanggung sakit untuk Amyza”… Didie Alias saksi Andre Mikhail hembus nafas terakhir

ARTIKEL BERKAITAN: Elak buka aib di media sosial, Didie Alias bimbang jejas kerjaya anak seni

Bagaimanapun, Didie menegaskan dia tidak pernah terfikir untuk memegang sebarang jawatan kerana baginya apa yang dilakukan adalah tanggungjawab bersama dan bukannya platform untuk meraih kedudukan.

"Saya rasa tak perlu jawatan-jawatan itu semua sebab ini dah memang tanggungjawab kita. Saya datang membantu bukan nak berlawan dengan sesiapa untuk jawatan presiden dan sebagainya. 

"Itu bukan saya. Pada saya kalau tiada orang membantu pun, saya boleh buat seorang diri. Saya ada cara sendiri untuk ikhtiar bagaimana nak cari bantuan. 

Saya cuba ringankan beban semua walaupun saya bukanlah kaya.

DIDIE ALIAS

PELAKON

"Kalau ada yang tak suka cara saya itu terpulang kepada mereka. Saya bukan nak menunjuk, apa yang saya lakukan ini semuanya seikhlas hati," ujarnya. 

Mengulas lanjut, Didie berkata segala usaha yang dilakukan hanyalah demi mencari keberkatan dan bekalan akhirat. 

Malah, pelakon drama Seribu Tahun itu tidak pernah mengharapkan balasan dalam bentuk wang ringgit.

"Mungkin asbab pertolongan ini semua dapatlah saya sedikit pahala untuk akhirat nanti. Saya pun tak tahu bila waktu saya pula.

"Kalau saya sakit ada ke yang nak tengok saya? Saya bukan mahu balasan orang hantar duit tetapi cukuplah sekadar ada yang menziarahi saya nanti," katanya. 

Didie (kanan) bersama Amyza (kiri) sebelum ini menyantuni Shamsul Ghau-Ghau di hospital.

Didie (kanan) bersama Amyza (kiri) sebelum ini menyantuni Shamsul Ghau-Ghau di hospital.

Sebelum ini, Didie sering dilihat komited dalam membantu rakan seperjuangan yang ditimpa musibah. 

Terbaharu tindakan Didie yang hadir menemani Amyza Aznan di hospital ketika pelakon itu diuji dengan pemergian anaknya, Andre Mikhail pada Isnin mendapat perhatian ramai. 

Rata-rata netizen meluahkan rasa terharu melihat sokongan yang diberikan Didie dan menyifatkannya sebagai seorang sahabat yang setia serta berhati mulia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain