suria

Isu artis ‘live’ sebelah jenazah, Mohd Izhar minta patuhi syarat ketat ziarah kematian

Mohd Izhar ingatkan supaya tidak membuka aib si mati ketika membuat rakaman.

TINDAKAN seorang selebriti membuat siaran langsung ketika menziarahi rakan yang kehilangan anak mengundang kecaman apabila rakaman itu dipercayai dilakukan bersebelahan jenazah.

Video berkenaan yang tular di media sosial memaparkan individu terbabit melakukan siaran langsung ketika suasana masih dalam keadaan hiba sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.

Rata-rata berpendapat, meskipun tujuan asal mungkin untuk berkongsi sokongan atau kehadiran di lokasi, tindakan tersebut dilihat tidak sensitif terhadap keluarga arwah yang sedang berduka dengan pemergian insan tercinta.

Mengulas isu itu, Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Kashim berkata, tindakan membuat siaran langsung atau 'live' ketika menziarahi kematian perlu mematuhi beberapa syarat ketat bagi menjaga aib dan fitnah. 

Tindakan membuat siaran langsung ketika ziarah kematian perlu mendapat keizinan keluarga si mati. 

“Menziarahi orang meninggal serta memberi salam takziah adalah sunnah. Namun begitu, kita perlu menjaga adab ketika menziarahi jenazah.

“Antara adab yang perlu dipatuhi adalah tidak bising dan tidak melakukan sesuatu kecuali dengan izin keluarga si mati.

“Ini termasuklah jika mahu membuat siaran langsung atau mengambil gambar ketika jenazah sedang diuruskan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Anak sulung Amyza Aznan meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Amyza Aznan ralat tiada di sisi arwah pada saat-saat akhir… “Mungkin Andre tak nak saya tengok dia pergi”

“Syarat ini perlu dipenuhi supaya kita tidak membuka aib si mati. Ini bermaksud tidak menyebabkan orang bercakap tentang fizikal jenazah sehingga menimbulkan fitnah,”  katanya kepada mStar. 

Tambah Mohd Izhar, setiap individu perlu lebih beretika serta memahami batas ketika menziarahi kematian. 

“Diharapkan syaat ini akan difahami oleh semua golongan yang gemar membuat siaran langsung ketika jenazah diuruskan,"katanya. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain