suria
mStar - Urban.Versatil

Amyza Aznan ralat tiada di sisi arwah pada saat-saat akhir… “Mungkin Andre tak nak saya tengok dia pergi”

Amyza tak dapat menahan sebak ketika berkongsi semula mengenai arwah anaknya.

PELAKON Amyza Aznan menyifatkan Ramadan kali ini sebagai paling perit dalam hidupnya apabila diuji dengan dugaan bertimpa-timpa.

Bukan sahaja kehilangan anak sulungnya, Andre Mikhail,20, malah dalam tempoh sama anak keduanya, Adrian Adam disahkan menghidap kanser tulang.

Amyza, 49, berkata Ramadan tahun ini benar-benar menguji kekuatannya sebagai seorang ibu.

Amyza anggap pemergian anaknya sesuatu yang memeritkan.

“Memang sangat perit, sangat-sangat perit. Tahun lepas dia (Andre) seorang sahaja sakit. Tahun ini saya dapat tahu tentang Adrian pula.

“Tahun ini juga dia tinggalkan saya. Memang perit,” katanya kepada mStar.

Amyza berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas majlis pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Keramat, Kuala Lumpur pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Adrian Adam bawa semangat arwah abang lawan kanser tulang… “Sekarang saya abang sulung”

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah anak Amyza Aznan, Andre Mikhail selamat dikebumikan

Tambahnya, buat masa ini dia masih belum menemukan kekuatan untuk bangkit daripada ujian besar yang menimpa keluarganya.

“Untuk hari ini, saya belum nampak lagi (kekuatan itu). Maaf kalau saya cakap macam ini. Mungkin ada yang tak setuju dan kata ‘move on’, kena terima qada dan qadar Tuhan.

“Waktu ini saya masih belum nampak lagi jalannya. Tapi saya tahu, insya-Allah satu hari nanti saya tak akan biarkan perkara ini terus menjatuhkan saya. Saya akan bangkit,” ujarnya sebak.

Sebab dia tahu saya ini emak yang memang berkepit dengan anak 24 jam.

AMYZA AZNAN

PELAKON

Dalam pada itu, Amyza mengakui lebih terkilan kerana tidak sempat berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir.

Menurutnya, dia percaya arwah seolah-olah memilih untuk pergi ketika dirinya tiada di hospital.

“Sebab dia tahu saya ini emak yang memang berkepit dengan anak 24 jam. Saya sangat protective, memang clingy dengan dia.

“Dia tahu perangai saya macam mana. Mungkin dia tak nak saya tengok dia pergi. Dia takut saya tak boleh ‘move on’,” ujarnya.

Amyza kerap berkongsi keadaan anaknya di media sosial.

Amyza berkata, ketika kejadian dia hanya pulang sebentar ke rumah untuk membersihkan diri sebelum menerima panggilan daripada pihak hospital.

“Saya balik sekejap untuk segarkan diri. Baru saja sampai rumah, lepas mandi mereka telefon tanya saya dekat mana.

“Mereka beritahu oksigen dia dah turun. Itu saja,” katanya.

Mengakui ralat kerana tidak berada di sisi anaknya pada saat akhir, Amyza bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi.

Allahyarham Andre selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Selangor.

“Saya memang ralat, mestilah sebagai ibu saya nak ada di sebelah dia waktu itu.

“Tapi mungkin itu yang terbaik. Saya cuba pujuk hati, mungkin dia tak nak saya tengok keadaan dia begitu,” luahnya.

Untuk rekod, Andre menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.30 malam Isnin di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain