suria
mStar - Urban.Versatil

[V] “Biarlah saya saja yang tanggung sakit untuk Amyza”… Didie Alias saksi Andre Mikhail hembus nafas terakhir

PELAKON dan pengacara Didie Alias berkongsi detik menyayat hati yang dilalui sahabatnya, Amyza Aznan apabila tidak sempat berada di sisi anak sulungnya ketika menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada malam Isnin.

Menurut Didie, 54, Amyza pulang sebentar ke rumah untuk mandi selepas beberapa hari menjaga Allahyarham Andre Mikhail di hospital tanpa rehat secukupnya.

“Sebelum pulang, dia pesan untuk tolong tengok anaknya serta bacaan oksigen. Jadi, saya suruh pergi mandi dulu, saya akan uruskan. 

Didie tenangkan Amyza sepanjang anaknya mengalami masalah kesihatan.

“Ketika dia tiada, saya minta suaminya naik melihat keadaan anak. Tidak lama kemudian, saya sendiri naik kerana hati tidak sedap. Sampai di atas, memang arwah sudah nazak. Betul-betul di depan mata, saya menyaksikan dia pergi.

“Saya sempat berkata kepada Amyza, mungkin arwah tidak mahu pergi di depan ibunya kerana terlalu sayang serta tidak mahu ibunya lebih terluka. Biarlah saya saja yang menanggung sakit untuk dia,” katanya kepada mStar. 

Didie berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas majlis pengebumian Andre Mikhail di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Keramat, Kuala Lumpur pada Selasa. 

ARTIKEL BERKAITAN: Amyza Aznan ralat tiada di sisi arwah pada saat-saat akhir… “Mungkin Andre tak nak saya tengok dia pergi”

ARTIKEL BERKAITAN: Adrian Adam bawa semangat arwah abang lawan kanser tulang… “Sekarang saya abang sulung”

Tambah Didie, ketika cuba mendapatkan pengesahan doktor dia tidak sampai hati untuk memaklumkan perkara sebenar kepada Amyza ketika itu.

“Pihak HKL memberi kerjasama yang baik dan doktor mengesahkan arwah meninggal dunia pada pukul 10.15 malam.

“Saya menunggu kehadiran Amyza. Saya hubunginya dan dia bertanya sama ada oksigen anaknya sudah menurun. Saya tidak sampai hati untuk memberitahu. Kali kedua dia masih bertanya.

“Saya hanya berkata, anaknya menunggu dia. Apabila dia sampai di hadapan lif, tubuhnya sudah longlai dan tidak mampu berkata apa-apa,” kongsi Didie.

Saya hanya berkata, anaknya menunggu dia.

DIDIE ELIAS 

PELAKON

Dalam pada itu, Didie turut meluahkan rasa syukur apabila ramai rakan artis dan kenalan industri tampil memberi sokongan buat Amyza sekeluarga.

“Syukur Alhamdulillah, ramai sahabat hadir memberi sokongan. Ia sedikit sebanyak menguatkan semangatnya. 

“Saya berpuas hati dapat bersama arwah sehingga saat akhir, seperti janji saya untuk menjaganya sehingga menutup mata.

Didie setia menemani Amyza sehingga selesai pengebumian anaknya.

“Alhamdulillah, saya dapat menunaikan janji itu dan berada di sisinya hingga ke penghujung,” ujarnya.

Terdahulu, jenazah Andre selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada jam 10.40 pagi Selasa.

Allahyarham yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap tiga yang dihidapinya sejak setahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain