suria
mStar - Urban.Versatil

“Arwah anak yang penyayang, tak pernah tinggi suara “ - Amyza Aznan

Amyza sifatkan arwah sebagai anak yang mendengar kata.

SIFAT lemah lembut dan tidak pernah meninggikan suara antara kenangan paling diingati pelakon Amyza Aznan terhadap anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail. 

Sepanjang hayatnya, Amyza, 49,  berkata Andre merupakan anak yang sangat baik, malah tidak pernah melawan atau bergaduh dengan sesiapa termasuk adik-beradiknya.

“Tak ada ibu yang tak puji anak kan? Tapi saya puji dia sebab memang dia begitu. Dia tak pernah ‘hei’, tak pernah melawan.

Amyza tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi mengenai anaknya.

“Antara dia dengan adik dia pun tak pernah bergaduh, berkasar atau naik suara. Tiga beradik ini memang sangat penyayang daripada kecil sampai besar,” katanya.

Amyza berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas majlis pengebumian anaknya Andre Mikhail di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Keramat, Kuala Lumpur pada Selasa. 

Lebih menyentuh hati, kata Amyza, sikap menghormati orang lain itu tetap utuh dalam diri Andre walaupun ketika berada dalam keadaan nazak.

ARTIKEL BERKAITAN: Amyza Aznan ralat tiada di sisi arwah pada saat-saat akhir… “Mungkin Andre tak nak saya tengok dia pergi”

ARTIKEL BERKAITAN: Adrian Adam bawa semangat arwah abang lawan kanser tulang… “Sekarang saya abang sulung”

“Walaupun waktu dia dah nazak dan sangat lemah, tapi bila orang panggil ada tetamu datang dia akan cuba naikkan kepala sebagai hormat. Itulah Andre Mikhail,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amyza mengakui pemergian anaknya pada bulan Ramadan yang mulia sedikit sebanyak memberi ketenangan buat dirinya.

“Macam-macam yang bermain di fikiran. Dia pergi pada bulan yang baik. Dia juga tinggalkan banyak perkara baik untuk saya, adik-adik dia, kawan-kawan dan keluarga. 

Amyza akan kenang segalanya kenangan indah bersama anaknya.

“Banyak kebaikan yang kami tumpang daripada dia. Senang cerita, dia tinggalkan kenangan dan perkara yang baik untuk kami,” katanya.

Untuk rekod, Andre menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.30 malam Isnin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain