SEORANG anggota polis yang baru tamat latihan meninggal dunia selepas dipercayai dianiaya oleh pegawai senior.Mangsa, Bripda Dirja Pratama, 19, menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan mulutnya mengeluarkan darah. Bapa mangsa, Aipda Muhammad Jabir, mengesyaki wujud unsur jenayah memandangkan anaknya meninggal dalam keadaan tragis.“Itu yang kami persoalkan (dakwaan penganiayaan), kerana ada darah keluar dari mulutnya,” kata bapanya kepada pemberita.Bapanya juga merupakan seorang anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah Pinrang, Sulawesi Selatan, Indonesia.Dirja tinggal di asrama dan baru sahaja memulakan tugas dalam badan beruniform. Proses bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham dibuat di Hospital Polis Bhayangkara, Makassar.Dirja merupakan Bintara muda di Ibu Pejabat Polis Negeri Sulawesi Selatan.Dia dilaporkan baru sahaja tamat latihan dan bertugas di Unit Rondaan Polis Sulawesi Selatan.“Dia baru lulus sebagai anggota polis. Allahyarham tinggal di asrama polis,” ujar bapanya lagi.Jabir berkata isterinya sempat menghubungi mangsa pada awal pagi Ahad sebelum dimaklumkan mengenai kematiannya pada hari sama.“Pada waktu Subuh, ibunya sempat berhubung dengan Dirja dan dia berada dalam keadaan baik serta tidak mengadu sakit,” katanya.Setakat ini, Penyiasat Unit Profesionalisme dan Keselamatan Ibu Pejabat Polis Negeri Sulawesi Selatan sudah memanggil enam anggota bagi menyiasat kes itu. -Agensi.