SEORANG guru besar yang pernah memukul kepala timbalannya dengan sepana akibat rasa ‘cemburu seksual melampau’ mengakui tindakannya itu membuatkan dia berasa amat malu.Pengakuan itu dibuat pertama kali selepas insiden tersebut berlaku. Memetik laporan Metro.co pada Rabu, Dr Anthony John Felton, 54, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lebih dua tahun selepas menyerang rakan sekerjanya, Richard Pyke.Kejadian dilaporkan berlaku di Sekolah Menengah St Joseph’s Roman Catholic Comprehensive di Aberavon, South Wales, pada 5 Mac tahun lalu.Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu yang dipertontonkan di Mahkamah Mahkota Swansea menunjukkan Felton secara senyap mengeluarkan sepana dari dalam jaketnya.Dia kemudian bertindak menghayunkannya ke arah kepala mangsa dari belakang, sekali gus mengejutkan orang ramai di galeri awam.Mahkamah dimaklumkan, Felton yang telah berkahwin dipercayai mempunyai anak hasil hubungan sulit dengan seorang lagi kakitangan sekolah dan mengesyaki wanita itu turut menjalinkan hubungan dengan mangsa.Selepas dibebaskan awal setelah menjalani hukuman penjara selama empat bulan, Felton menulis mengenai insiden tersebut dalam akhbar Inside Time, iaitu penerbitan untuk banduan dan bekas banduan."Saya mengaku sangat malu dengan kesalahan yang membawa saya ke Penjara Swansea. Saya disabitkan kesalahan mencederakan rakan sekerja di tempat kerja."Saya menyesal dengan perbuatan itu serta-merta, dan sehingga hari ini saya kerap bermimpi untuk memohon maaf kepada mangsa," tulisnya.Felton turut mengakui kesnya mendapat liputan nasional kerana statusnya sebagai guru besar."Pada usia 54 tahun, saya tiba-tiba berdepan kehidupan di penjara. Memang wajar saya dijatuhi hukuman penjara, tetapi itu tidak mengurangkan rasa takut dan cemas yang saya alami," katanya.Dia turut mendedahkan tentang rasa takut dipukul atau dirogol di dalam penjara, selain menghabiskan masa mencongak hukuman yang mungkin diterima ketika dalam tahanan reman.Felton, yang dilantik sebagai guru besar pada September 2023, mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan menyebabkan kecederaan parah dengan niat pada 7 April 2024. -Agensi