suria

Che Ta tegur sikap jurusolek banyak songeh, nasihat bakal pengantin cari khidmat MUA terkenal

Rozita menasihatkan bakal pengantin mencari jurusolek berpengalaman.

PELAKON Rozita Che Wan mengingatkan orang ramai yang bakal melangsungkan perkahwinan supaya lebih berhati-hati dalam memilih jurusolek.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 52, menyarankan kepada semua bakal pengantin supaya mendapatkan khidmat jurumekap yang berpengalaman serta profesional bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada hari bahagia.

Kata Rozita, dia hilang sabar apabila mendengar rungutan beberapa pengantin mengenai sikap jurusolek yang didakwa meletakkan pelbagai syarat sehingga menyusahkan pelanggan.

"Mana yang nak bernikah itu hati-hatilah cari jurumekap, yang banyak hal korang jangan layan sangat. 

Rozita hilang sabar dengan jurusolek yang banyak kerenah. 

"Kami pun naik darah dengar pengantin mengadu kelakuan-kelakuan mekap artis yang baru nak up ni. 

"Korang cari yang otai-otai (lebih pengalaman), lebih profesional," katanya. 

Rozita berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok miliknya. 

Dalam pada itu, Rozita memberitahu sepanjang bergelar anak seni dia tidak pernah berhadapan sebarang isu dengan jurumekap artis kerana sentiasa bekerjasama dengan individu yang profesional.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada syarat untuk bakal menantu, Rozita Che Wan yakin pilihan anak... Titip nasihat jadi suami mithali

ARTIKEL BERKAITAN: “Suami yang sangat menyenangkan” - Che Ta ungkap kata romantis buat Zain Saidin, 12 tahun lalui asam garam rumah tangga tanpa jemu

Tambahnya, dia kurang bersetuju dengan sikap jurusolek yang hanya meletakkan pelbagai syarat selepas bayaran dibuat oleh pelanggan.

"Baru-baru ini saya dengar ramai pengantin ada masalah dengan MUA (jurusolek). Aku ni dah berpuluh tahun jadi artis, selama ni tak pernah ada masalah dengan mekap artis. Kita tak panggil MUA. Kita panggil mekap artis. 

"Mekap artis yang profesional, bukan acah-acah baru nak hidup. Baru dapat pengantin seorang kau dah berangan nak jadi MUA tersohor. 

"Kalau aku dah bayar baru bagi syarat-syarat, eh cantik muka kau. Kalau kita tak kuasa nak ambil mekap artis yang baru nak naik," ujarnya. 

Rozita turut menegaskan bahawa walaupun seseorang jurusolek mempunyai ilmu dan teknik solekan tersendiri, pengalaman praktikal tetap memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti.

Rozita tidak pernah berdepan dengan jurusolek bermasalah.

"Mungkin dia (MUA) rasa dia belajar, ada teknik solekan. Teknikal dengan praktikal tak sama ya. Saya cadangkan kalau sesiapa nak bernikah tu tolonglah ambil mekap artis yang terkenal. 

"Mereka ini memang sempurna tak ada perangai yang pelik-pelik," katanya. 

Sebelum ini, tular di media sosial seorang jurusolek didakwa meletakkan pelbagai syarat sehingga menyusahkan bakal pengantin. 

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen termasuk jurusolek lain yang tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang dikenakan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain