suria

Pemergian ibu beri kesan mendalam, Nasha Aziz belum sedia kembali berlakon... “Saya ambil masa bertenang dahulu”

Nasha dalam tempoh fasa bertenang selepas pemergian ibu tercinta tahun lalu.

PELAKON Nasha Aziz memilih untuk memperlahankan perjalanan karier lakonannya buat sementara waktu selepas melalui fasa sukar dalam kehidupan peribadi.

Menurut Nasha atau Noraishah Abdul Aziz, 55, selepas pemergian ibu tercinta pada Mac tahun lalu, ia memberi kesan mendalam sehingga membuatkan dia perlu mengambil masa untuk bertenang dan memulihkan emosi sebelum kembali ke set penggambaran.

“Sudah tentu saya nak berlakon balik tapi sekarang saya berada dalam fasa 'cooling session' selepas ibu saya meninggal dunia tahun lalu.

Nasha masih mempunyai hasrat kembali ke set lakonan.

“Ramai yang dekat dengan saya telah pergi buat selamanya, jadi saya ambil masa untuk bertenang dahulu,” katanya kepada mStar.

Kali terakhir Nasha muncul di layar perak adalah menerusi filem Talbis Iblis yang ditayangkan pada tahun 2022. 

Kata Nasha, keputusan untuk berehat bukan kerana tiada tawaran, sebaliknya kebanyakan watak yang diterima memerlukan komitmen emosi yang sangat berat.

“Kebanyakan tawaran yang saya dapat memerlukan emosi yang berat, jadi saya ambil keputusan untuk perlahankan sedikit perjalanan karier lakonan saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nasha Aziz bersihkan kubur sambil ‘catwalk’, Tuhan beri rezeki cantik untuk berbakti

ARTIKEL BERKAITAN: Mulianya hati Nasha Aziz, umur sudah 49 tahun tapi sanggup membujang demi ibu - “Kalau saya tak jaga amanah ini, siapa nak jaga?”

“Talbis Iblis adalah filem terakhir lakonan saya,” ujarnya.

Dalam masa sama, Nasha memberitahu dia kini perlu selektif memilih naskhah yang sesuai dengan keadaan emosinya ketika ini.

“Saya ada dapat tawaran pengarah berbeza tapi genre yang sama iaitu seram. Saya tahu akan banyak tenaga, fizikal dan mental diperlukan.

“Saya akan kembali berlakon cuma selektif pilih naskhah mengikut fasa saya sekarang,” jelasnya.

Nasha sering mendapat tawaran watak yang berat dari segi permainan emosi.

Dalam pada itu, Nasha berkongsi pandangannya mengenai persepsi industri yang sering mengaitkan dirinya dengan watak-watak berat dan beremosi.

“Tiada yang beri tawaran lakonan santai. Banyaknya perlukan emosi berat. 

"Bagi mereka, bila beri tawaran kepada saya, agak rugi kalau tak beri watak berat,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain