Kes melibatkan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dikaitkan dengan Ahmad Zahid Hamidi, diklasifikasikan sebagai NFA.
JABATAN Peguam Negara (AGC) memutuskan bahawa kes melibatkan 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (No Further Action).Menurut kenyataan AGC pada Khamis, keputusan itu susulan penelitian terhadap keseluruhan siasatan dan keterangan baharu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid atas pertuduhan berkenaan. "Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang."Ia mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan dan keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah," katanya dalam kenyataan berkenaan.ARTIKEL BERKAITAN: [V] Selepas 77 hari dibicarakan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanahKeputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes tersebut selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.Menurut AGC, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana tersebut termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada AGC selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.AGC berkata, pihaknya mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.Ujarnya, penelitian mengambil kira skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan difailkan dan pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan.Penelitian juga mempertimbangkan langkah-langkah siasatan lanjut oleh SPRM bagi memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baru kes serta dapatan hasil siasatan lanjut merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi termasuk aliran dana dan sumbangan dana ke dalam yayasan dari semasa ke semasa.