Suspek (kiri) berpakaian lokap dan digari ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu pada Jumaat. -Foto Bernama (kiri)
PEMANDU Honda Jazz yang terbabit dalam kemalangan tragis mengorbankan seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di persimpangan empat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil, Terengganu direman empat hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan.Perintah reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Yuhanis Mohd Roslan selepas mahkamah membenarkan permohonan polis bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek lelaki berusia 32 tahun itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu sekitar pukul 9.45 pagi Jumaat dengan berpakaian lokap dan tangan bergari.Dalam kejadian sekitar pukul 1.38 tengah hari Isnin lalu, mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan Perodua Viva yang dipandunya remuk dan dia tersepit akibat perlanggaran tersebut.Mangsa yang merupakan penuntut Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari UniSZA dipercayai sedang menuju ke Jabatan Pendidikan Terengganu bagi menguruskan permit mengajar sebelum memulakan latihan praktikal di sebuah sekolah di Terengganu yang dijadualkan bermula Mac depan.Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Deputi Komisioner Azli Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati kenderaan mangsa berhenti di lampu isyarat sebelum bergerak membelok ke kanan sejurus lampu bertukar hijau.Bagaimanapun, kereta itu dilanggar oleh sebuah Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan.Akibat perlanggaran itu, pemandu Honda Jazz berkenaan turut mengalami kecederaan parah termasuk patah tangan kiri dan kecederaan pada bahagian tengkuk, sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.Azli turut memaklumkan bahawa suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri di HSNZ sejak Januari 2025 dan disahkan menghidap gangguan kemurungan major atau major depressive disorder (MDD).