suria

Dulu bangga tayang tubuh seksi, selepas peluk Islam Celine Evangelista mahu kekal istiqamah tutup aurat

Celine mahu terus kekal istiqamah tutup aurat.

PELAKON Indonesia, Celine Evangelista secara terbuka berkongsi sebab utama dia memilih untuk menutup aurat selepas memeluk Islam.

Celine, 34, berkata, sebelum ini dia sering menganggap kecantikan dan imej seksi yang digayakan perlu dipamerkan kepada khalayak ramai. 

Malah Celine menegaskan, ketika itu dia hanya memikirkan kepuasan diri sendiri kerana kerap menerima pujian tentang penampilan fizikalnya.

Celine menyesal berpakaian seksi dahulu.

“Bukan nak sombong tapi dulu saya pakai seksi sebab nak tunjuk kulit saya putih dan halus. 

“Namun hakikatnya, semua itu membawa ke arah negatif, bukan sahaja pada diri saya, tetapi juga kepada orang lain. 

"Mungkin saya rasa puas apabila dipuji cantik, tapi sebenarnya ia bawa impak negatif,” katanya.

Pengakuan itu dikongsikan Celine ketika hadir sebagai tetamu jemputan dalam podcast Daniel Mananta.

ARTIKEL BERKAITAN: Watak ‘free hair’ sebelum berhijab, Isyariana pakai tudung sebab Allah

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Elizad ‘tarik nafas’ tengok gambar-gambar lama, akui bukan mudah istiqamah tutup aurat

Seiring dengan peningkatan pemahaman agama, Celine mula menyedari bahawa penampilannya dahulu boleh menimbulkan kesan buruk kepada orang lain.

“Banyak orang yang kenal saya kerana imej seksi dan kecantikan yang dimiliki hingga akhirnya ada yang berimaginasi bukan-bukan.

"Keadaan itu juga boleh membawa kepada tingkah laku yang tidak baik dan dilempiaskan kepada orang tidak bersalah. Walaupun saya tak tahu, dosanya tetap pada saya,” jelasnya.

Celine mahu berubah jadi manusia lebih baik setiap masa.

Tambah Celine, dahulu dia sentiasa beranggapan imej seksi bukan satu masalah, sebaliknya orang luar sepatutnya menjaga pandangan mereka.

Ucapan itu disampaikan Celine dalam keadaan sebak dan jelas menunjukkan penyesalan mendalam terhadap kehidupan lamanya sebelum menemui hidayah.

Untuk rekod, Celine memeluk agama Islam pada Mac tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain