suria

Tiada Cadangan Jadikan Pendidikan Islam Mata Pelajaran Wajib Lulus UPSR

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran wajib lulus untuk peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata kementerian tidak pernah menetapkan kelulusan mana-mana mata pelajaran UPSR sebagai syarat kelayakan untuk ke sekolah menengah, kerana ujian itu hanyalah untuk menilai dan mengukur tiga kemahiran pelajar iaitu membaca, menulis dan mengira.

"Namun demikian mata pelajaran pendidikan Islam merupakan subjek teras yang wajib dipelajari oleh murid-murid beragama Islam melalui kokurikulum sekolah," katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) pada sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Mohd Nasir ingin tahu adakah kerajaan berhasrat untuk menjadikan mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai subjek wajib lulus UPSR untuk murid beragama Islam.

Sementara itu, Wee berkata kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah guru bantuan di sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan murid yang ramai. Beliau berkata langkah itu akan diperluaskan selepas menimbang beberapa perkara lain, termasuk peruntukan yang diterima kementerian itu.

"Kita menyedari mengenai cadangan untuk menambah guru bantuan dan sedang mengkajinya," katanya menjawab soalan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk meringankan beban guru.

Wee berkata kementerian telah menguatkuasakan supaya pihak sekolah tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan arahan supaya guru terlibat dalam semua aktiviti luar sekolah.

"Kita hadkan setiap guru hanya wajib menghadiri program sekolah dua kali sebulan sahaja," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain