suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

AUKU: KPT Pertimbang Rayuan Ke Mahkamah Persekutuan

SERDANG: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mempertimbangkan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebagai bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan tersebut adalah tidak selari dengan matlamat institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia yang menuntut pelajar berpandangan luas dan menunjukkan kematangan intelektual.

"Ini bukan semata-mata soal kebebasan tetapi juga bermaksud pendidikan disekat.

"Jika tidak memikirkan soal pendidikan, saya tak ada masalah dengan keputusan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, Selasa.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan secepat mungkin memutuskan sama ada mengemukakan rayuan selepas membuat perbincangan dengan kabinet.

"Kita menghormati keputusan mahkamah.

"Dalam masa yang sama kita percaya ada lagi satu peluang di Mahkamah Persekutuan," katanya.

Beliau menjelaskan, masyarakat perlu memahami mengapa AUKU 1971 diwujudkan dan mengapa pelajar tidak dibenarkan terlibat dengan politik.

Katanya, sebagai pelajar mereka harus berupaya membina minda, berfikiran bebas, waras dan seimbang.

Hal ini bertentangan dengan bidang politik yang mempunyai ideologi, peraturan dan disiplin tersendiri.

"Kalau terikat dengan mana-mana pandangan, bagaimana nak luaskan pandangan dan tahap keintelektualan.

"Kalau mereka pegang apa-apa jawatan dalam parti politik sudah tentu mereka kena patuh dengan peraturan politik," katanya.

Semalam, keputusan 2-1 dicapai oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Wira Low Hop Bing dan memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan AUKU sebagai sah di sisi perlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu.

Artikel Lain