suria

Suspek Kes Bunuh Ditahan Selepas 23 Tahun

BESUT: Seorang lelaki yang merupakan suspek kes pembunuhan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan di Kampung Gong Badang di sini pada tahun 1988, berjaya ditahan polis pada Rabu.

Lelaki yang kini berumur 48 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 pagi dalam serbuan di sebuah rumah di kampung Alor Lintah dekat sini, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superintenden Noor Zainy Mohd Nor.

Dalam kejadian 23 tahun lepas, lelaki yang ketika itu berusia 25 tahunv disyaki membunuh kanak-kanak lelaki itu ketika dia sedang tidur dalam buaian di Kampung Gong Badang.

Lelaki itu dipercayai melarikan diri ke selatan Thailand dan bekerja sebagai penoreh getah di sana.

Noor Zainy berkata lelaki itu ditahan semasa dia pulang untuk melawat ibunya yang sakit.

"Suspek ditemui secara kebetulan ketika sepasukan anggota polis bahagian Narkotik dari IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Besut menyerbu kediaman ibu suspek untuk menahan anak saudaranya yang disyaki terbabit dalam kes dadah.

"Apabila mendapati anak saudaranya tidak berada di rumah itu, polis telah memeriksa suspek dan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau lalu menahannya," katanya.

Noor Zainy berkata lelaki yang masih bujang itu direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain