suria

Hospital Akan Keluar Bil Terperinci Kos Perubatan - Liow

MUAR: Semua hospital dan klinik kerajaan akan mengeluarkan bil terperinci yang menyatakan kos sebenar perubatan pesakit yang mendapatkan rawatan mulai tahun depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata langkah itu diambil agar pesakit mengetahui kos sebenar perkhidmatan perubatan kerajaan yang hanya mengenakan caj RM1 kepada mereka.

"Kita akan senaraikan tiap-tiap perkhidmatan, dan berapa nilainya, kemudian kita beritahu mereka bahawa dia hanya perlu bayar RM1 sahaja, yang lain-lain dibayar oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sistem maklumat klinikal pergigian (OHCIS) di pekarangan Klinik Maharani pada Sabtu.

Beliau berkata dengan cara ini, setiap pesakit boleh mengetahui berapa kos sebenar perubatan mereka yang ditanggung kerajaan.

Liow merujuk contoh pesakit di klinik pergigian yang hanya perlu menjelaskan antara RM10 hingga RM100, walhal nilai sebenar kos rawatan mereka berlipat kali ganda.

Terdahulu, beliau meluluskan penubuhan Klinik 1Malaysia di daerah Muar yang dipohon Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim, yang juga Anggota Parlimen berkenaan pada majlis tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain