suria

Stadium Nasional Bukit Jalil jadi saksi 65,000 penonton bangun berjoget lambak di Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza

Konsert Siti berjaya dibanjiri lebih 65,000 penonton.

LEBIH 65,000 penonton bangun daripada tempat duduk dan menari serentak Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengajak peminat berjoget lambak di penghujung konsert Legacy 30: Passion, Sincere & Love sekali gus mencipta momen luar biasa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Sabtu. 

Tanpa dirancang dan penuh spontan, malam bersejarah itu bertukar menjadi satu pesta rakyat apabila penyanyi kesayangan ramai itu menghidupkan kembali tradisi lama yang jarang dizahirkan di pentas mega.

“Kalau ikut adat orang dulu, apabila ada keraian orang akan berjoget lambak.

Konsert Siti berlangsung dengan sangat meriah pada malam Sabtu.

“Jadi saya ingin ajak semua yang hadir di sini untuk bangun dan joget lambak boleh? Kita jadikan ini joget lambak terbesar.

“Silap-silap boleh masuk Malaysia Book of Records,” katanya berseloroh.

Aksi itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh sehingga menjadikan stadium ikonik berkenaan sebagai sebuah pesta tarian penuh meriah. 

Detik tersebut bukan sahaja menghidupkan suasana konsert, malah memperlihatkan hubungan erat antara penyanyi itu dengan peminat yang setia menyokong perjalanan seninya selama tiga dekad.

ARTIKEL BERKAITAN: Dari Jeddah, Melbourne hingga Indonesia, peminat sanggup tempuh perjalanan panjang demi Siti Nurhaliza… “Saya redah laluan laut, darat dan udara demi Tokti”

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza tegur penyebaran video persiapan konsert, mohon peminat jangan buat spekulasi

Sepanjang persembahan, Siti turut membuai emosi penonton menerusi rangkaian lagu tradisional popular termasuk Joget Menanti Kasih, Balqis, Ya Maulai dan Pandang Pandang Jeling Jeling sekali gus mengangkat elemen irama tradisional.

Malam bersejarah itu turut dimaknai dengan penghormatan istimewa apabila lagu Cindai dipersembahkan sebagai tanda mengenang jasa Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, individu penting yang banyak menyumbang dalam pembentukan identiti seni Siti.

Dalam kejutan lain, Siti mengumumkan Oddah, anak kepada penyampai radio Sharifah Shahira, kini secara rasmi bernaung di bawah Siti Nurhaliza Legacy (SNL). 

Pengumuman tersebut dibuat selepas Oddah atau nama sebenarnya Auddra Zulkifly tampil menari mengiringi lagu Destinasi Cinta.

Siti berjaya menghiburkan lebih 65,000 penonton.

“Kenapa saya jemput Odah bersama dengan saya? Kalau anak angkat, saya ada ramai anak angkat. Odah kini di bawah naungan SNL dan sebab itu malam ini dinamakan legasi,” katanya.

Konsert yang berlangsung lebih tiga jam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi undangan Umairah, Hafiz Suip, Noh Salleh dan Cakra Khan.

Malah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke konsert penuh bersejarah itu. 

Siti ketika membuat persembahan bersama Cakra.

Konsert tersebut dihoskan oleh Muaz Mohamed dan turut dihadiri ramai rakan artis ternama antaranya Datuk Syafinaz Selamat, Ella, Wany Hasrita, Rozita Che Wan, Aina Abdul, Awal Ashaari, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Aisha Retno, Dayah Bakar, Fasha Sandha, Fara Fauzana, Datuk Aliff Shukri dan Azzadan Rabbani.

Legacy 30 bukan sekadar meraikan angka, tetapi menjadi lambang perjalanan panjang seorang legenda yang membina empayar seni berteraskan disiplin, pengorbanan dan cinta terhadap peminat yang tidak pernah berbelah bahagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain