suria

Akta Buang Negeri 1959 Dimansuh Kerana Sudah Lapuk

KUALA LUMPUR: Akta Buang Negeri 1959 (Akta 79) dimansuhkan kerana ia sudah lapuk dan tidak boleh digunakan lagi, demikian menurut Rang Undang-Undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011 yang diedarkan di Parlimen, Selasa.

Menurut rang undang-undang itu lagi, pemansuhan akta itu bagaimanapun tidak menjejaskan apa-apa waran, perintah, arahan atau surat cara lain, atau penahanan yang telah dikeluarkan atau dibuat di bawah Akta itu sebelum tarikh permulaan kuat kuasa pemansuhan dibuat.

Rang undang-undang itu juga tidak melibatkan sebarang perbelanjaan wang tambahan oleh kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengemukakan usul untuk memansuhkan dua akta iaitu Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Selain dua akta itu, Najib menerusi Perutusan Khas Hari Malaysia pada 15 Sept lepas turut mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selain mengkaji semula secara komprehensif Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967.

ISA akan digantikan dengan dua undang-undang baru yang sesuai dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Mac tahun depan. - BERNAMA

Artikel Lain