suria

Kempen Kesedaran Pengguna Mula Diperkenal Kepada Murid Sekolah Rendah - Ismail

BERA: Kempen meningkatkan kesedaran kepenggunaan khususnya berkaitan pemakanan seimbang, penjagaan alam sekitar dan kebersihan serta pengurusan kewangan yang sebelum ini diperkenalkan kepada pelajar sekolah menengah, kini diperluaskan kepada murid sekolah rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bertujuan mendidik pelajar supaya mengamalkan sikap berjimat cermat, menjaga kebersihan dan mengendalikan perbelanjaan harian dengan terancang.

"Pada masa ini, pihak kementerian sudah melaksanakan kempen ini ke beberapa sekolah rendah yang terpilih dan ia akan diperluaskan lagi secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Parlimen Bera di sini, Sabtu.

Beliau berkata kempen itu telah dimulakan di 2,229 sekolah menengah seluruh negara membabitkan 18,610 anggota menerusi Kelab Pengguna Sekolah yang ditubuhkan di sekolah menengah. Bagi memastikan kelancaran program itu, pihak kementerian mengadakan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan yang mempunyai kepakaran dan anggota yang mencukupi untuk memberi penerangan dan maklumat mengenai penjagaan kesihatan serta Jabatan Pelajaran bagi memantau dan menyelia aktiviti yang dijalankan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain