suria

40 Disyaki Penagih Dadah Ditahan Dalam Ladang Kelapa Sawit Di Sungai Udang

MELAKA: Polis menahan 40 orang yang disyaki penagih dadah dalam sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Penjara Sungai Udang di sini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah, Asisten Supritendan Mohd Azam Ab Razak berkata mereka yang berusia antara 16 dan 53 tahun itu ditahan dalam operasi selama 11 jam bermula pukul 5 pagi Jumaat.

"Polis mula memasuki ladang itu seawal pukul 5 pagi dan bersembunyi di ladang berkenaan bagi mengelakkan kehadiran mereka dikesan penagih yang menuju ke situ, sebelum seorang demi seorang penagih ditangkap ketika memasuki kawasan tersebut," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai pengedar dadah dan teman wanitanya berusia 18 tahun ketika memasuki kawasan itu dengan motosikal.

Hasil pemeriksaan, polis menemui 40 paket dadah jenis heroin bernilai kira-kira RM4,000 dan sembilan paket syabu bernilai kira-kira RM5,000 pada beg yang disandang pengedar itu, katanya. Mohd Azam berkata kesemua yang ditahan termasuk motosikal itu kemudiannya diangkut menggunakan lori polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 manakala suspek yang memiliki dadah itu disiasat di bawah Seksyen 39(B) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi yang diketuai Mohd Azam disertai dua pegawai dan 26 anggota polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain