suria

Tiga Individu, Satu Persamaan

M. RAJAMORGAN, Mohannad Taha Ismail dan Mohd Fazli Azri Jamil merupakan tiga individu yang berbeza bukan sahaja dari segi rupa, bahasa pertuturan dan pekerjaan, malah mungkin mereka ini juga tidak pernah mengenali antara satu sama lain apatah lagi pernah bersua muka sebelum ini.

Namun, mereka ini mempunyai satu persamaan - masing-masing menerima hukuman yangpaling berat di negara kita, iaitu hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan mereka bersalah di atas tuduhan membunuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan dalam kisah hidup mereka.

Rajamorgan yang merupakan seorang kelindan lori dihukum pada Khamis lalu, atas tuduhan membunuh K. Haresvarra, bayi comel berusia 18 bulan yang pernah diasuh oleh isterinya, manakala hukuman ke atas Mohannad Taha yang disabitkan membunuh anak teman wanitanya, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah, tiga tahun, dijatuhkan pada Jumaat.

Mohd Fazli Azri Jamil pula telah lama menerima hukuman tersebut pada 23 September 2010 - pada sambutan ulang tahunnya 28 - juga atas tuduhan membunuh anak teman wanitanya, Syafiah Humaira Sahari yang berusia tiga tahun empat bulan.

Kejadian bunuh bukanlah sesuatu yang asing kerana hampir setiap hari ada sahaja berita pembunuhan dilaporkan media, tetapi penulis beranggapan yang paling meninggalkan kesan sudah pastilah jika mangsa dalam kejadian tersebut adalah seorang kanak-kanak yang baru sahaja mahu mengenali dunia.

Entah di mana silapnya, kanak-kanak seperti Haresvarra, Aaliyah Ayman dan Syafiah Humaira diperlakukan sebegitu sedangkan mereka ini tidak pernah bermusuh apatah lagi mampu melakukan sesuatu perbuatan yang dapat menimbulkan unsur-unsur provokasi kepada mereka yang membunuhnya.

Rasanya tidak ada seorang pun dapat memahami betapa sakitnya tubuh kecil Haresvarra apabila dipukul oleh seorang lelaki yang berkali-kali ganda lebih besar saiznya dengan menggunakan tenaga yang kuat yang mampu menyebabkan berlaku kecederaan ke hati - yang akhirnya menjadi penyebab kepada kematian Haresvarra yang diharapkan dalam menjadi seorang tokoh korporat oleh kedua-dua orang tuanya.

Juga tidak dapat dibayangkan betapa sunyi perasaan dialami oleh Aaliyah Ayman yang ditinggalkan keseorangan di dalam rumah dalam keadaan sukar bernafas dan muka yang lebam serta berdarah ekoran Mohannad Taha, seorang warga Sudan panik melihat keadaan mangsa telah membuat keputusan untuk keluar menjemput teman wanitanya, Ellina Maulad Mahather di tempat kerja.

Berdasarkan keterangan, Mohannad Taha yang menjalin hubungan dengan Ellina pada April 2008 telah keluar dengan menaiki teksi pada pukul 5.30 petang dan mereka hanya kembali ke rumah pada pukul 7.30 petang, 12 Oktober 2010 iaitu selepas singgah sebentar di sebuah pasar raya untuk membeli ubat dan lampin pakai buang.

Dua jam kanak-kanak comel yang hanya seberat 10.58 kilogram itu bertarung nyawa keseorangan dan dia juga dinafikan hak untuk mendapatkan bantuan perubatan secepat mungkin kerana Mohannad Taha menghalang ibunya daripada menghantarnya ke hospital sehingga mereka mencapai persetujuan - kira-kira 15 ke 20 minit selepas itu - untuk mengatakan perbuatan tersebut dilakukan oleh pembantu rumah.

Nasib yang sama berlaku juga kepada Syafiah Humaira yang hanya dikejarkan ke hospital pada waktu malam, sedangkan kejadian tubuh kecilnya ditendang dan dipijak oleh Mohd Fazli Azri yang memakai kasut bola berlaku pada sebelah petang.

Seorang dewasa pun pada hemat penulis, tidak mampu untuk menahan kesakitan sebegitu rupa, inikan pula kanak-kanak yang hanya boleh mengharapkan ehsan ibu bapa untuk dihantar ke hospital.

Satu persamaan yang dikongsi oleh Haresvarra, Aaliyah Ayman dan Syafiah Humaira adalah tubuh mereka disahkan mempunyai pelbagai kesan kecederaan.

Kecederaan-kecederaan ini pula adalah yang bersifat boleh membawa kepada kematian yang tidak mungkin boleh diakibatkan oleh pukulan-pukulan untuk mengajar - kerana penulis juga sering dipukul oleh ayah semasa kecil tetapi tidak pernah sehingga ke tahap perlu dikejarkan ke klinik.

Tetapi, mengambil kira pembelaan Rajamorgan, dia mendakwa Haresvarra menjadi lemah selepas diberi makan coklat dan kerana panik, dia memilih untuk membawa kanak-kanak tersebut pulang ke rumah dan cuba membasuh muka mangsa berkali-kali.

Keterangan itu tidak selari dengan keterangan yang diberikan oleh doktor patologi, Dr Karunakaran Mathiharan yang mendapati mangsa mati akibat kecederaan pada hati yang boleh disebabkan oleh pukulan objek tumpul selain terdapat kesan-kesan kecederaan yang masih baru di badannya.

Bagitu juga dengan pembelaan Mohd Fazli Azri yang mendakwa kecederaan yang dialami oleh Syafiah Humaira berpunca daripada kesan jatuh apabila motosikal yang ditunggang mereka terjatuh selepas terlanggar satu bonggol jalan dan semasa itu, mangsa menurut lelaki itu tidak memakai topi keledar.

Mohd Fazli Azri yang merupakan seorang pemandu teksi seterusnya mendakwa, kepala Syafiah Humaira kemudiannya terhantuk di dinding tandas semasa kanak-kanak itu sedang mandi.

Semua dakwaan-dakwaan tersebut kemudiannya ditolak oleh Pakar Perunding Kanan Forensik, Dr Shahidan Mohd Noor apabila beliau mengatakan kecederaan tersebut tidak selari dengan cerita-cerita itu.

Malah, masih jelas di fikiran penulis bagaimana doktor tersebut mengambil kayu pembaris untuk mengukur lebam yang seakan-akan corak tapak kasut bola sepak pada gambar organ dalaman Syafiah Humaira pada perbicaraan di mahkamah untuk mengukuhkan lagi keterangannya.

Itu adalah satu kebaikan yang dinikmati dari kemajuan bidang perubatan dan sains. Beratus-ratus ribu tahun dahulu, mungkin kita semua hanya akan menerima bulat-bulat apa yang diceritakan kerana tidak ada cara untuk mengetahui kebenaran melainkan jika ada mata yang melihat jenayah tersebut dilakukan - kerana sudah pasti si pelaku akan bermati-matian menidakkan tuduhan tersebut.

Ini mengingatkan penulis kepada Mohd Fazli Azri yang mengatakan dia tidak mengingati kejaidian di padang bola kerana mabuk dan khayal selepas mengambil minuman keras dan ganja, sedangkan kejadian Syafiah Humaira ditendang sehingga terpelanting dan dipijak serta diangkat sebelum dilepaskan semula jelas disaksikan oleh beberapa pelajar sekolah yang sedang bermain bola sepak.

Dan sudah pasti juga, sakit kerana makan coklat - sama ada disebabkan oleh alahan atau keracunan makanan mahupun coklat luput tarikh - tidak akan menunjukkan hasil yang sama dengan kecederaan akibat dipukul.

Apapun, itu adalah pembelaan yang diutarakan oleh tertuduh yang masing-masing mempunyai hak untuk didengar, dan terpulanglah kepada kebijaksanaan hakim yang mendengar kes untuk memutuskan sama ada mahu mempercayai atau tidak setiap pembelaan yang diutarakan - dalam kes Haresvarra, Aaliyah Ayman dan Syafiah Humaira sudah jelas pembelaan tersebut tidak dapat menimbulkan keraguan yang munasabah.

Hukuman mati untuk kesalahan membunuh juga bukanlah sesuatu yang baru, tetapi entah di mengapa, hukuman tersebut seolah-olah tidak dapat menakutkan segelintir individu di luar sana daripada terus melakukan kesalahan tersebut, apatah lagi ke atas kanak-kanak yang sepatutnya disayangi kerana gelak ketawa mereka adalah penawar duka dan mampu menghilangkan penat setelah seharian terperuk di pejabat.

Artikel Lain