suria

Kes Kong Choy Dipindah Ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

PUTRAJAYA: Kes penipuan bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan mengikut Seksyen 418A (1) Kanun Prosedur Jenayah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Azhaniz Teh tidak menetapkan tarikh sebutan kes Chan di Mahkamah Tinggi dan terpulanglah kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi untuk menetapkan tarikh tersebut.

Katanya beliau akan memaklumkan timbalan pendaftar mengenai permohonan itu yang dibuat oleh peguam Chan, Tan Hock Chuan yang memohon tarikh sebutan pada Oktober kerana beliau akan ke luar negara selama tiga minggu mulai esok.

Azhaniz Teh juga membatalkan permohonan Chan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu perbicaraan kes penipuan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik selesai, setelah Chan menarik balik permohonan itu, dengan kebebasan untuk memfailkan permohonan baru.

Chan, 55, mengaku tidak bersalah pada 28 Feb tahun ini terhadap tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan memperdayakan beliau untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna bagi menjalankan pembangunan projek hub penghantaran di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja-kerja mengubah suai di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion.

Bekas menteri itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di tingkat empat blok utama di pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra di sini.

Chan menghadapi hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Berikutan dengan kes itu dipindahkan, tarikh perbicaraan dari 20 hingga 30 Sept, yang telah ditetapkan sebelum itu, telah dikosongkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain