suria

Ajaran Sesat Hassan Jonit: 150 Pengikut Dikenalpasti Bergiat Aktif– Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Terdapat kira-kira 150 pengikut ajaran sesat Ilmu Hakikat Hassan Jonit yang telah dikenal pasti bergerak aktif di Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jumlah tersebut berdasarkan maklumat awal yang diterimanya namun beliau turut mengesahkan bahawa tiada sebarang tangkapan dibuat sehingga kini.

"Pengikut ajaran tersebut terdiri daripada individu yang tidak memiliki asas pendidikan agama yang kukuh. Kita masih mengumpul bukti kukuh sebelum langkah membanteras kegiatan itu diambil.

“Kita bimbang ajaran seperti ini boleh menyebabkan tindakan fizikal seperti mengamuk dan membunuh orang, jadi kita tak nak perkara seperti itu berlaku. Sebab itu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menggunakan enakmen undang-undang sedia ada untuk menyekat ajaran sesat seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Solehah terbitan TV Al Hijrah di Dewan Muktamar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada Selasa. Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai pengikut Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit yang kini dipercayai kembali bergiat aktif untuk menghidupkan semula ajaran tersebut di Selangor.

Ajaran tersebut telah disahkan menyimpang daripada ajaran agama Islam yang sebenar oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Fatwa Negeri Selangor pada tahun 1998.

Ahad lalu, media melaporkan bahawa ajaran sesat tersebut telah cuba dikembangkan semula oleh anggota keluarga salah seorang pengikut kanan Hassan yang meninggal dunia beberapa yang tahun lalu.

Laporan itu mendakwa kumpulan berkenaan kini diketuai oleh menantu kepada orang kanan Hassan dan markas utama kumpulan itu terletak di Kampung Melayu, Batu Arang Rawang.

Mengulas lanjut mengenainya, Jamil berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan JAIS sedang membuat pemantauan serius terhadap pemimpin, pengikut serta kegiatan kumpulan berkenaan.

“Kita telah ada enakmen dan undang-undang untuk menyekat ajaran sesat seperti ini. Dan berdasarkan maklumat yang kita terima mereka (pengikut) ini tidak mempunyai asas pendidikan agama yang kukuh namun atas alasan ingin mencari keseronokan diri, ajaran ini berkembang dengan begitu cepat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamil memberi jaminan pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat kewujudan beberapa blog yang didakwa menyiarkan artikel menghina Islam.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit memandangkan ia boleh menimbulkan kebencian dan mengganggu sensitiviti terhadap kebebasan beragama di negara ini.

"Siasatan untuk menjejaki identiti sebenar pemilik blog berkenaan masih dijalankan memandangkan blog itu menggunakan nama dan maklumat diri samaran.

“Justeru, satu mesyuarat khas antara SKMM, Jakim dan Kementerian Dalam Negeri yang dipengerusikan Ketua Setiausahanya, Tan Sri Mahmood Adam telah diadakan bagi memantau kewujudan blog terbabit,” katanya.

Pada Isnin, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Jingga 13 telah menghantar surat mohon menghadap kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk memohon campur tangan Seri Paduka dalam isu tersebut.

Kumpulan berkenaan turut menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap blog 'makcikhajjahsittalwuzara.wordpress' yang didakwa menyiarkan artikel yang menghina agama Islam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain