suria

Zecha Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada Menteri Pelancongan

KUALA LUMPUR: Kes saman yang difailkan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen terhadap seorang pengarah agensi pengiklanan Austen Zecha Lauw Victor, yang didakwa memfitnah beliau, berakhir hari ini apabila Zecha mengemukakan kenyataan permohonan maaf secara terbuka di mahkamah di sini.

Kenyataan permohonan maaf itu dibacakan peguam T.H. Liew, yang mewakili Zecha, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T.Singham.

Liew berkata sebagai defendan, Zecha mengaku tidak wujud sebarang asas bagi semua tuduhannya dan defendan berada di sini dengan diwakili peguamnya untuk memohon maaf kepada plaintif.

Katanya, defendan ingin menyatakan yang beliau menarik balik semua dakwaan dan penerbitan yang menjadi perkara pokok dalam prosiding berkenaan dan menyesal kerana membuat dakwaan itu.

"Defendan mengaku bahawa tuduhan, khususnya yang telah dibacakan oleh peguam yang mewakili plaintif, adalah tidak berasas dan beliau menarik balik sepenuhnya semua tuduhan berkenaan.

"Defendan juga secara ikhlas mengaku kepada plaintif kesesalannya membuat kenyataan yang mengandungi tuduhan berkenaan dan memohon maaf kepada plaintif atas kesusahan dan keaiban yang dialami plaintif akibat penyiaran tuduhan itu," kata Liew.

Pada 17 Ogos lalu, Dr Ng dan Zecha bersetuju mencari penyelesaian di luar mahkamah berdasarkan syarat tertentu, termasuk penyiaran kenyataan permohonan maaf melalui akhbar dalam tempoh 48 jam selepas ia dibacakan di mahkamah.

Zecha juga bersetuju menyiarkan pernyataan permohonan maaf melalui stesen radio Business BFM89.9 dalam tempoh tujuh hari mulai tarikh mahkamah mengeluarkan perintah mengenainya.

Zecha bersetuju menjelaskan bayaran yang tidak dinyatakan jumlahnya secara penuh dalam tempoh tujuh hari mulai hari ini.

Dalam saman yang difailkan pada 14 April lalu, Dr Ng mendakwa Zecha, 71, pengarah TBWA-ISC Malaysia Sdn Bhd dan Integrated Strategic Communications Sdn Bhd (ISC), dalam satu temu bual dengan stesen radio Business FM89.9 pada 18 Mac tahun ini, telah menuturkan kata-kata yang tidak benar, tidak wajar dan berbaur fitnah tentang beliau.

Zecha berkata, kata-katanya bahawa ISC enggan memperbaharui satu kontrak pengiklanan kerana Dr Ng, melalui ejennya, telah meminta rasuah berhubung perkara itu, membawa maksud Dr Ng tidak jujur, perasuah dan tidak layak menjawat jawatan awam dan melakukan kesalahan kerana menyalahgunakan kuasa dan kedudukan beliau sebagai Menteri Pelancongan bagi tujuan meraih keuntungan peribadi.

Dalam kenyataan tuntutannya, Dr Ng berkata kenyataan defendan dalam temu bual itu telah merosakkan nama baiknya sebagai ahli politik dan Menteri Pelancongan, termasuk di mata klien dan syarikat yang berurusan dengan kementerian itu.

Dr Ng menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta relief injunktif untuk menghalang defendan, sama ada secara peribadi atau melalui ejen/petugasnya, daripada menyiarkan perkataan berbaur fitnah yang serupa tentang beliau.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Dr Ng berkata beliau gembira dengan keputusan prosiding mahkamah berhubung kes itu, khususnya permohonan maaf secara penuh oleh Zecha.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain