BEBERAPA bandar di Iran, termasuk ibu negara Tehran, dilaporkan digegarkan oleh letupan selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama pada Sabtu pagi.Menurut laporan, beberapa peluru berpandu menjejaskan kawasan University Street dan Jomhouri di Tehran, sementara kawasan utara seperti Seyyed Khandan juga menjadi sasaran. Serangan turut dilaporkan di wilayah barat Ilam dan beberapa kawasan lain di Iran. Presiden Donald Trump menyifatkan operasi ketenteraan ini sebagai langkah menghapuskan ancaman segera daripada rejim Iran dan menegaskan tindakan itu bertujuan melindungi rakyat Amerika.Sementara itu, pegawai Iran memberitahu Reuters Tehran sedang bersiap sedia untuk membalas serangan tersebut dengan tindak balas disifatkan menghancurkan Israel, menurut laporan televisyen rasmi negara itu.Di Israel, siren dilaungkan dan negara mengisytiharkan darurat. Tentera Israel menegaskan sistem pertahanan udara sedang digunakan untuk menangkis peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran susulan serangan ke atas negara itu. Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyatakan serangan ini bertujuan untuk menyingkirkan ancaman selain memuji kepimpinan Trump dalam tindakan bersama ini.Juruwarta Al Jazeera, Maziar Motamedi, melaporkan gangguan komunikasi telefon bimbit di beberapa kawasan Tehran, menjadikan panggilan telefon sukar dilakukan.Serangan ini dipercayai dirancang beberapa bulan sebelum pelancaran, walaupun rundingan sedang berlangsung antara AS dan Iran mengenai program nuklear negara itu. -Agensi