suria

30 Kafe Siber Di Kuantan Terlibat Aktiviti Perjudian

KUANTAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menamatkan talian internet 30 buah kafe siber sekitar Kuantan kerana didapati terlibat dengan aktiviti perjudian.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata jumlah itu adalah daripada 34 premis yang disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral tersebut.

Baki empat premis masih dalam siasatan Telekom Malaysia bagi memastikan penglibatan mereka, katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Mohd Sharkar berkata permohonan pemotongan talian itu dilakukan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

"Selain itu, SKMM dengan kerjasama MPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sedang menyiasat 64 buah kafe siber sekitar Kuantan yang disyaki terlibat dengan operasi judi haram," katanya menjawab soalan Datuk Pang Tsu Ming (BN-Semambu).

Mohd Sharkar berkata bagi tempoh Januari tahun lepas hingga Julai tahun ini, sebanyak 106 premis disyaki menjalankan premis perjudian mesin berkomputer diserbu dan hasilnya sebanyak 896 buah komputer dirampas.

Selain itu, seramai 434 orang termasuk penjaga premis ditahan untuk proses dokumentasi dan seramai 16 anggota sindiket telah diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan.

"Sebanyak 70 premis telah dipohon bagi pembatalan lesen perniagaan kepada pihak MPK manakala 71 premis dipohon bagi pemotongan bekalan elektrik kepada pihak Tenaga Nasional Berhad," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang Datuk Fong Koong Fuee berkata dari 2006 hingga Julai lepas, seramai 207 penjawat awam di Pahang telah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 48 orang diikuti Raub (40 orang), Bentong (30), Pekan (22), Maran (18), Temerloh (15), Rompin (10), Lipis (8), Jerantut (7), Bera (5) dan Cameron Highlands (4).

Dalam tempoh yang sama juga sebanyak 351 kertas siasatan dibuka, dan daripada jumlah itu 64 kes dibawa ke mahkamah yang mana 64 orang disabitkan kesalahan rasuah, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain