APMM Gagalkan Cubaan Seludup Keluar PATI

JOHOR BAHRU: Niat Tekong membawa 19 Pendatang Tanpa Izin (PATI) keluar dari negara ini gagal setelah bot pancung yang mereka naiki berjaya di pintas bot laju Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan di perairan Pengerang, Johor pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam, semua pati terbabit bersama tekong menaiki sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan dan bergelap dikesan bot laju APMM ketika melakukan rondaan Operasi Perkasa Selatan di perairan Pengerang, Johor.

Ketua Penguat Kuasa Wilayah Maritim Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, ketika dihampiri, bot terbabit terus memecut laju mengelak dari ditahan, namun usaha tekong bot membawa 19 PATI tersebut gagal setelah bot laju APMM berjaya memintas dan menahan mereka 15 minit kemudian di 1.2 batu nautika Barat Tanjung Pengelih, Kota Tinggi.

Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan cuba keluar dari negara ini secara haram menuju negara jiran.

Selain tangkapan 20 warga Indonesia, APMM Wilayah Selatan juga telah merampas sebuah bot kayu berukuran 8 meter panjang dan enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda, katanya di sini. Zulkifili berkata, semua PATI termasuk tekong dibawa ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Maritim Selatan untuk siasatan lanjut.

APMM juga akan melakukan penyemakan dengan jabatan yang berkaitan sama ada mereka telah mendaftar atau pun tidak proses pemutihan yang dilaksanakan oleh kerajaan baru-baru ini bagi mengawal kemasukan semula ke negara ini secara haram, katanya.

Menurutnya, semua pendatang terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 5(1)(2) Akta Imigresen 1959/1963 serta Akta Pemerdagangan Orang Pindaan 2010 keluar/masuk Malaysia melalui pangkalan yang tidak diwartakan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain