suria

Asyraf Makin Pulih, Fobia Lihat Lelaki Berkumpul

LONDON: Kecederaan yang dialami Muhammad Asyraf Haziq Rossli, pelajar Malaysia yang diserang oleh kumpulan perusuh di kota London hampir sebulan yang lalu, kini semakin pulih.

Bagaimanapun, menurut anak muda berumur 20 tahun itu, kecederaan yang dialaminya bersifat kekal dan besi yang dipasang untuk membetulkan rahangnya, akan kekal selama-lamanya.

"Saya sudah makin pulih, mungkin dalam beberapa minggu lagi saya sudah boleh makan makanan keras. Sakitnya juga sudah hilang namun kadang-kadang terasa ngilu bila hujan.

"Walaupun sebulan peristiwa itu berlaku, namun masih fobia, kalau berjalan dan ternampak orang berkumpul, saya akan elak dan ikut jalan lain," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau sebelum itu bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi empat hari bermula Khamis lepas.

Muhammad Asyraf berkata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, bertanya mengenai perkembangan terbaru beliau selepas kejadian itu.

Muhammad Asyraf, penuntut jurusan perakaunan di Kolej Antarabangsa Kaplan, cedera dibelasah dan disamun sekumpulan remaja dalam kejadian rusuhan yang berlaku di London dan dimasukkan ke Hospital Royal London setelah patah tulang rahang dan gigi.

Beliau berkata rahangnya yang patah dipasang dengan acuan titanium dan empat skru kekal.

Kejadian yang menimpanya itu kemudian disiarkan ke laman perkongsian video, YouTube dan mengundang simpati masyarakat antarabangsa.

Berikutan kejadian itu juga, Muhammad Asyraf menerima sumbangan termasuk kewangan yang kini mencecah sehingga 23,000 pound sterling.

Daripada jumlah itu, sebanyak 5,000 pound didermakan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam rusuhan berkenaan, dan selebihnya, kata Muhammad Asyraf, akan digunakan untuk pengajiannya. - BERNAMA

Artikel Lain