suria

BN Mampu Tawan Negeri Pembangkang - Shafie

JITRA: Perpaduan lebih kukuh dalam Barisan Nasional (BN) dan pengemukaan calon berpotensi menang adalah syarat utama membolehkan B Nmenawan kembali negeri-negeri yang terlepas kepada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum lepas. Menegaskan demikian, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata semua ahli Umno dan anggota komponen BN hendaklah mengukuhkan perpaduan iaitu membuang sifat negatif dengan mengutamakan kepentingan parti.

"Dengan resepi ini tidak mustahil BN boleh mencapai kejayaan cemerlang pada pilihan raya umum ke-13 kelak," katanya semasa berucap menutup majlis penerangan perdana BN peringkat negeri Kedah di sini, Sabtu.

Mohd Shafie berkata beliau memberi syarat itu supaya tidak ada lagi sikap terutamanya di kalangan ahli Umno yang mengambil tindakan menafikan kemenangan calon yang dipilih hanya kerana mereka sendiri (ahli Umno) tidak dicalonkan.

Beliau memberi contoh keputusan BN tidak meletakkan timbalan presiden MIC, Datuk G. Palanivel pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tahun lepas tidak menimbulkan masalah kerana orang nombor dua MIC itu mengutamakan kemenangan parti dari kepentingan diri.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menekankan dua faktor tersebut untuk BN mencapai kemenangan cemerlang pada PRU-13 kelak.

Mengenai Kedah, beliau berkata BN boleh menawan kembali negeri ini dari PR kerana sejak memerintah kerajaan negeri telah gagal menunaikan janji, hutang meningkat dan tidak membawa pembangunan untuk rakyat.

Majlis itu disertai lebih 5,000 orang dirasmikan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, bagi menerangkan isu-isu semasa kepada anggota-anggota jawatankuasa parti-parti komponen BN.

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Malaysia, Datuk Ahmad Maslan dan ketua Biro Publisiti dan Penerangan BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain