suria

Bantu Segera Rakyat, Jangan Tunggu Arahan - Chee Heung

ALOR SETAR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung mahu semua pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) bersikap proaktif membantu rakyat dan tidak menunggu arahan untuk bertindak. "Jangan tunggu arahan pihak atasan baru nak bertindak....gunakanlah wang peruntukan yang diberikan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan masalah kecil di bawah program 'Sentuhan Hati' ini ," katanya di sini, Jumaat.

Chor yang berucap pada majlis penyampaian wang kepada 39 pengerusi JKKKP kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Darulaman dan Bakar Bata itu, berkata tindakan tersebut perlu bagi memastikan kejayaan program 'Sentuhan Hati'.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Chor berkata beliau mahu pengerusi JKKKP mengemukakan permohonan melaksanakan projek besar untuk faedah rakyat kepada anggota parlimen atau anggota dewan undangan negeri (Adun) kawasan mereka. "Saya akan agihkan peruntukan RM2 juta yang diberikan kepada saya selaku Anggota Parlimen Kota Setar untuk digunakan bagi menjayakan program yang menyentuh hati rakyat," kata Chor. Sebelum itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah yang juga Adun Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata semua parti komponen BN harus mengikis sikap berkelompok atau sokongan kepada pemimpin tertentu dalam parti masing-masing. "Pilihan raya umum akan datang bakal menentukan untung nasib Umno dan BN. Jadi setiap perancangan perlu dilaksanakan dengan bersungguh hati," katanya.

Beliau juga yakin BN berupaya merampas kembali Kedah daripada pakatan pembangkang jika ketua dalam sistem blok yang dilaksana BN memainkan peranan dan memastikan bilangan pemilih yang keluar mengundi meningkat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain