suria

Anggota Kastam Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Rasuah

ALOR SETAR: Seorang Pembantu Penguasa Kastam yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas dua pertuduhan membabitkan rasuah tahun lalu.

Lee Kuang Guan, 52, yang bertugas di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang Jeti Kuah, Langkawi dituduh meminta suapan RM440 daripada A.Sinappayen sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Sinappayen kerana membawa keluar arak tanpa dikenakan bayaran cukai, melalui panggilan telefon pada pukul 10.10 pagi, 26 Mac 2010.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Lee dituduh menerima suapan sebanyak RM440 daripada Sinappayen untuk tujuan sama pada hari sama pukul 2.30 petang di tandas lelaki balai berlepas Jeti Kuah, Langkawi.

Untuk pertuduhan kedua itu juga, Lee dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17 (a) akta sama, dan jika sabit kesalahan boleh juga dipenjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh sebelum hakim Mohd Rosli Osman menetapkan dia dikenakan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Rosli menetapkan 11 Okt sebagai tarikh untuk serahan dokumen. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain