suria

Beri Ceramah Tanpa Tauliah: Saya Sudah Terima Notis Mahkamah – Khalid Samad

PETALING JAYA: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad pada Rabu mengesahkan beliau sudah menerima notis untuk hadir ke Mahkamah Syariah Klang pada 24 November depan untuk dibicarakan atas dakwaan memberi ceramah agama tanpa tauliah di sebuah surau baru-baru ini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata notis berkenaan telah diserahkan kepadanya selepas beliau memberi keterangan kepada Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Bangunan Sultan Idris pada Selasa.

"Ya, saya sudah terima notis itu semalam, sebaik sahaja saya selesai beri keterangan kepada JAIS. Nampak sangat mereka (JAIS) memang nak dakwa saya,” katanya kepada mStar Online.

Pada Selasa, Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Nurhamizah Othman mengesahkan Khalid telah dipanggil untuk memberi penjelasan kenapa beliau memberikan tazkirah agama tanpa tauliah di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Katanya, JAIS mengambil tindakan itu atas aduan orang ramai.

Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 memperuntukkan mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara mengenai Islam tanpa tauliah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam bagaimanapun menyifatkan tindakan jabatan agama itu ke atasnya adalah bermotifkan politik semata-mata.

Beliau mendakwa tindakan JAIS itu merupakan satu usaha terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Selangor terutamanya menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Jelas sekali ini satu tindakan bermotifkan politik, lebih-lebih lagi bila dekat musim pilihan raya. Nampak sangat mereka (JAIS) memang ada niat untuk terus dakwa saya,” katanya.

Khalid berkata, beliau akan hadir dan memberi keterangan di Mahkamah Syariah Klang pada tarikh dan hari yang ditetapkan.

"Saya akan lawan habis-habisan, saya akan pertahankan hak saya sebagai seorang Muslim untuk menyampaikan ceramah agama kepada orang Islam dan perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan.

"Takkan saya tidak boleh sampaikan ceramah agama kepada kariah masjid di kawasan saya sendiri?," ujarnya.

Khalid berkata, beliau pernah mendapat tauliah sementara untuk mengajar agama daripada JAIS namun ia telah dibatalkan atas dakwaan dia mempunyai rekod jenayah di Selangor.

"Selepas saya semak dengan polis negeri, mereka kata ada rekod jenayah, tapi bila saya tanya atas kesalahan apa mereka beri alasan itu rahsia negara.

"Saya pun pelik…saya telah pun fail saman terhadap pihak polis dan kes ini akan disebut di mahkamah tidak lama lagi,” katanya.

Pada November 2009, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah di Selangor.

Artikel Berikut

Artikel Lain