suria

Zaki Akhiri Khidmat Sebagai Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA: Tepat jam 5.09 petang Jumaat, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi mengetip kad perakam waktu terakhir perkhidmatannya sebagai pegawai tertinggi Badan Kehakiman negara di Istana Kehakiman di sini.

Zaki mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada Isnin ini.

Terdahulu, majlis perpisahan dan memotong kek sempena sambutan harijadi beliau turut dianjurkan oleh warga kerja Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Beliau yang diiringi isterinya Toh Puan Nik Sazlina Mohd Zain mengucapkan salam perpisahan kepada lebih 500 warga kerja pejabat itu termasuk hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

Selepas berkhidmat bagi penggal hampir empat tahun sebagai Ketua Hakim Negara, Zaki telah membawa banyak perubahan kepada badan kehakiman serta berjaya mengurangkan kes-kes tertangguh di semua peringkat yang telah mempercepatkan sistem pengadilan di negara ini.

Menggantikan Zaki ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria, berkuat kuasa Isnin ini.

Sementara itu, dalam ucapannya, Zaki berterima kasih kepada semua warga kehakiman yang telah menyumbang kepada peningkatan reputasi badan kehakiman negara.

Dalam sebuah negara demokrasi, beliau berkata mahkamah merupakan organ kerajaan yang penting dan martabat sesebuah negara itu akan terjejas sekiranya mahkamahnya tidak berfungsi dengan baik.

"Pembaharuan-pembaharuan yang telah kita lakukan baru-baru ini telah meningkatkan martabat negara kita.

"Proses-proses, pembaharuan serta membaik pulih badan kehakiman kita adalah hasil usaha seluruh warga kehakiman negara...kejayaan ini adalah hasil usaha serta dedikasi seluruh warga badan kehakiman negara.

"Kenangan saya yang paling berharga adalah hadirin semua yang telah menyumbang dan berkhidmat kepada Badan Kehakiman Negara kita. Saya sangat terharu dengan sokongan semua pihak," katanya.

Zaki turut menyarankan semua warga kehakiman terus memberikan komitmen kepada Ketua Hakim Negara yang baru.

"Saya berharap anda semua melihat kerja anda sebagai suatu amal kebaikan yang akan dibalas suatu hari nanti dan bukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran dalam bentuk material," katanya.

Sambil menceritakan kenangan manis ketika bertugas sebagai Ketua Hakim Negara, Zaki berkata antaranya ialah "seronok duduk di Putrajaya yang tiada mat rempit bawa motor laju-laju". - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain