suria

China Labur RM900 Juta Di Ecer

SERI KEMBANGAN: Biro Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Luar Wenzhou yang berpangkalan di China akan melabur RM900 juta untuk menubuhkan satu taman perindustrian bersepadu yang terdiri daripada kemudahan logistik dan rumah gudang di Zon Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kuantan, Pahang.

Menerusi pelaburan ini, Wenzhou akan mempunyai kompleks urus niaganya yang pertama di ECER, yang akan terletak di taman perindustrian bersepadu bagi menggalakkan lagi perdagangan dua hala.

Pembinaan taman perindustrian bersepadu itu dijadual bermula pada Jun tahun depan dan akan siap dalam tempoh 18 bulan selepas itu.

Biro Kerjasama Ekonomi itu dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini bertukar-tukar dokumen bagi memformalisasikan rancangan pelaburan dalam zon khas itu dan disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata kedua-dua pihak turut bekerjasama untuk mengenal pasti bidang-bidang baharu kerjasama ekonomi yang boleh merancakkan pelaburan.

"Saya berharap pelaburan ini akan menarik syarikat-syarikat lain dari China untuk melabur di Kuantan dan bahagian-bahagian lain Pantai Timur," kata beliau selepas menyaksikan pertukaran dokumen antara kedua-dua pihak di sini, Sabtu.

Majlis itu adalah sebahagian daripada Persidangan Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa Malaysia-China 2011 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Dirasmikan oleh Mustapa, persidangan itu dihadiri oleh lebih 1,000 delegasi dari China, Dubai, Sri Lanka, Iran dan Jepun.

Lebih 400 delegasi ialah dari China. Mustapa menasihatkan syarikat-syarikat China yang berminat untuk mengendalikan projek di Malaysia menggunakan perkhidmatan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Mustapa, yang dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari China bulan depan berkata beliau akan membincangkan rancangan taman perindustrian seluas 55 kilometer persegi akan dibina di Wenzhou sebagai satu projek usaha sama antara syarikat Malaysia dan China.

"Fasa pertama projek itu dijangka siap pada tahun 2015. Cadangan untuk projek itu belum lagi dikemukakan," tambah beliau.

Wenzhou, yang juga dikenali sebagai "ibu negara perindustrian ringan China" menghasilkan 60 peratus daripada kasut di China dan mempunyai tapak kukuh dalam pembuatan pakaian.

Ia juga merupakan pusat pembuatan utama untuk alat peranti elektrik, alat elektronik dan mesin ringan.

Wenzhou telahpun mewujudkan pusat-pusat komersil di Brazil, Belanda, Emiriyah Arab Bersatu, Amerika Syarikat dan Jerman. Di Malaysia, pusat perdagangannya terletak di Ipoh, Perak sementara pusat perdagangannya di Senai, Johor, pada masa ini sedang dalam pembinaan.

Terdahulu, dalam majlis perasmian persidangan, Mustapa berkata MITI, yang memberi fokus kepada Beijing dan Shanghai, kini telah meluaskan rangkaiannya di China meliputi wilayah-wilayah seperti Wenzhou, Yunnan dan Guangxi.

"Kita juga akan bekerjasama dengan persatuan Hainan, Hakka, Teochew, Fuchow dan Guangxi untuk membantu kita dalam kerjasama ini," tambah beliau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain