suria

Warga Emas Ditemui Mati Dalam Keadaan Tangan, Kaki Terikat

KUANTAN: Mayat seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan tangan dan kaki terikat di rumahnya di Taman Bumi Cemerlang, Ketari, Bentong di sini, Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa yang dikenali sebagai K.Kaliammal, 60-an, tinggal seorang diri di rumah tersebut.

Beliau berkata, maklumat berhubung penemuan mayat itu diterima daripada orang awam pada 1.45 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta mulut ditutup menggunakan kain, di dalam sebuah bilik berhampiran dapur," katanya ketika dihubungi.

Mohamad Mansor berkata, pemeriksaan polis mendapati tidak ada kesan luka pada tubuh mangsa, sementara rumahnya berselerak dipercayai akibat digeledah.

Beliau berkata, motif kejadian masih disiasat dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain