suria

UPP Rampas Rokok Di Parkir Tokong

ALOR SETAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 365 kartun rokok larangan dan rokok seludup bernilai RM6,270 dengan cukai terlibat sebanyak RM31,000 dalam satu serbuan di tempat letak kereta sebuah tokong di sini tengah hari Selasa.

Komander UPP Kedah Mohd Jasri Othman berkata dalam serbuan hasil maklumat awam kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pihaknya mendapati seorang lelaki tempatan bersama sebuah kereta jenis Toyota Corona berada di parkir berkenaan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

Hasil pemeriksaan menyeluruh dalam kereta terbabit, didapati terdapat sejumlah rokok seludup dan rokok larangan diletakkan pada tempat duduk penumpang dan dalam tempat menyimpan barang.

"Lelaki terbabit pernah ditahan UPP April lalu atas kesalahan yang sama iaitu mengedar rokok seludup menggunakan tapak parkir kenderaan di tokong tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan menjual rokok kepada peniaga kecil di sekitar daerah ini.

"Kita percaya rokok seludup itu dipercayai diseludup dari Langkawi manakala rokok larangan jenis Gudang Garam dipercayai diseludup dari Indonesia.

Seorang lelaki tempatan berumur 40-an ditahan bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1957. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain