suria

JLKN Harap Modul I-SMART Mampu Mudahkan Pelatih

KUALA LUMPUR: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berharap modul I-SMART yang membantu pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menguasai kemahiran 3M (membaca, mengira dan menulis), mampu membantu memudahkan hidup pelatih itu.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata dengan modul itu, diharap pelatih PLKN sekurang-kurangnya mampu memahami tulisan pada papan tanda atau mengambil ujian bagi memperoleh lesen memandu.

"Saya juga akan memastikan dalam masa 85 hari ini para pelatih terbabit akan mengenal huruf serta nombor bagi memudah dan menyenangkan kehidupan mereka di dunia realiti sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata JLKN akan memperkenalkan modul I-SMART tahun ini bagi membantu pelatih PLKN yang gagal menguasai kemahiran 3M, menguasai kemahiran itu dalam masa 85 hari mereka berada di kem PLKN.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ismail Sualman berkata inisiatif yang dilakukan JLKN itu merupakan satu usaha yang murni dan dapat memberikan satu nilai tambah kepada PLKN.

"Saya juga menyeru JLKN agar meneruskan program murni ini walaupun pada asalnya latihan ini lebih berbentuk kenegaraan bagi mendisiplinkan para pelatih tersebut," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut