suria

Terminal Sejahtera Pertama Di PPR Sri Pahang Bangsar

KUALA LUMPUR: Pusat ulang kaji pelajaran, yang dikenali sebagai Terminal Sejahtera, akan diwujudkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pahang, Bangsar di sini untuk kemudahan pelajar sekolah dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin di sekitar ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata peruntukan bagi pusat itu telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

"Terminal Sejahtera perlu diwujudkan di setiap kawasan perumahan PPR dan Perumahan Awam di sekitar Lembah Klang kerana persekitaran rumah yang kurang selesa dapat menjejaskan penumpuan pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah terhadap pelajaran mereka," katanya.

Beliau berkata idea penubuhan Pusat Terminal Sejahtera itu timbul apabila melihat pusat serupa diwujudkan di Lembah Pantai di bawah kendalian pihak swasta.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Hari Raya sempena program 1Sumbangan 1Keluarga anjuran Pusat 1Malaysia Lembah Pantai kepada lebih 5,000 keluarga di PPR Sri Pahang dan PPR Sri Anggerik di sini Ahad.

Sumbangan itu adalah dalam bentuk barangan makanan asas iaitu beras, minyak masak, gula, biskut dan beberapa barangan makanan lain.

Selain itu, Raja Nong Chik berkata kerajaan sedang mengkaji untuk membangunkan semula rumah-rumah pangsa dan perumahan awam di sekitar Lembah Klang yang berusia lebih 25 tahun.

"Rumah-rumah pangsa dan perumahan awam yang berusia tidak sesuai untuk didiami sebuah keluarga pada masa sekarang maka kerajaan akan membuat kajian menyeluruh dan mendapat pandangan penduduk sebelum meneruskan projek pembangunan semula itu," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa pembangunan semula rumah pangsa dan awam itu akan mengambil kira pandangan dan mendapat persetujuan sepenuhnya oleh penduduk sebelum melaksanakan projek itu.

Projek pembangunan semula itu akan mengguna pakai konsep 'brownfield development' yang diguna pakai di United Kingdom iaitu menggunakan semula tanah yang pernah digunakan tetapi berada tidak jauh dari kawasan asal.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak swasta memberi cadangan mengenai pembangunan semula rumah-rumah pangsa dan awam yang berusia itu kepada kementerian demi memastikan warga kota dapat mendiami sebuah rumah yang selesa pada masa depan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain