suria

Enam Guni Pelbagai Jenis Mercun Dirampas Di Kemaman

KEMAMAN: Polis merampas enam guni mercun bernilai lebih RM3,000 dan menahan seorang penganggur berusia 24 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kerteh dekat sini, awal Ahad.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supritendan Abdullah Sani Salat berkata hasil serbuan di Rumah Awam Kos Rendah Paka di Kampung Baru Kerteh pada pukul 1 pagi itu, polis menemui pelbagai jenis mercun termasuk mercun bola dan naga.

Kesemua mercun itu dipercayai untuk dijual secara runcit di pasar-pasar malam sekitar bandar Chukai dan daerah ini, katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Abdullah Sani berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata lelaki itu dijangka didakwa di Mahkamah Majistret di sini esok dan polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca mercun itu diperoleh. - BERNAMA

Artikel Lain