suria

Wajah-wajah Danawan...

PENULIS percaya tidak ada seorang pun pembaca akhbar ini yang pernah menjejakkan kaki di sebuah pulau terpencil bernama Danawan yang terletak di tengah-tengah lautan luas di perairan Laut Sulu bersempadan dengan kepulauan Filipina. Kalau hendak pergi sekali pun memang para pembaca semua tidak akan sampai ke situ kerana tidak ada bot komersial yang dapat membawa anda ke sana dan sejauh itu. Dalam perkataan yang lain, tidak ada lagi pulau milik Malaysia selepas Danawan yang boleh dikunjungi. Pulau ini hanya diduduki oleh dua kumpulan masyarakat sahaja - anggota tentera Malaysia yang merupakan sebahagian daripada markas hadapan pertahanan negara dan masyarakat Bajau Laut. Lain daripada mereka, tidak ada.

Sejak kembali dari pulau itu minggu lalu, penulis tidak dapat melelapkan mata dengan nyenyak, tidak dapat tidur malam dengan sempurna. Ada rakan pejabat yang bertanya sama ada penulis membawa pulang apa-apa ‘cenderamata’ dari pulau terpencil itu. Jawapannya tidak. Ada yang bertanya, ketika di sana ada atau tidak penulis menuturkan kata-kata yang tidak enak didengar. Jawapannya juga tidak. Mereka terus bertanya, adakah penulis membuang air kecil secara rambang di mana-mana bahagian di pulau itu. Jawapannya juga tidak. Maka mereka pun hairan apakah punca yang menyebabkan tidur penulis terganggu sejak kembali dari Danawan.

Penulis cuma ada dua jawapan yang paling relevan dan rasional. Pertama mungkin apa yang penulis saksikan di situ sedikit sebanyak mengganggu fikiran dan kedua penulis berharap, gangguan ini hanya bersifat sementara dan akan hilang dengan sendirinya sebaik sahaja selesai menulis dan menyiarkan apa yang telah penulis lihat di dalam ruangan ini dan juga Mingguan mStar minggu ini.

Jadi apakah yang telah penulis lihat dan saksikan sepanjang beberapa jam berpeluang menjejakkan kaki di pulau terpencil itu? Jawapannya ialah wajah-wajah anak kecil Danawan. Terpandang wajah mereka, penulis terbayangkan anak-anak penulis sendiri yang dilahirkan dalam situasi serba ‘mewah’ dan dalam penuh ‘kesenangan’ sedangkan anak-anak di Danawan, sebahagian besarnya tidak bersekolah, tidak tahu membaca, menulis dan mengira apatah lagi memahami perkataan ‘tuisyen’ yang sangat sinonim dengan anak-anak kita semua. Sepanjang hayat, mereka tidak pernah melihat pasar raya, lebuh raya, gedung membeli-belah seperti Pavillion dan The Curve malah tidak pernah memasuki pawagam, kedai buku dan kemudahan moden yang lain. Paling hampir mungkin, mereka menontonnya menerusi televisyen yang terdapat di bangunan sekolah berhampiran kampung mereka.

Pada satu sudut di hadapan sebuah rumah laut (rumah yang dibina di gigi laut di hadapan pantai), penulis melihat bagaimana anak-anak yang berusia empat, lima atau enam tahun sedang membanting tulang membantu ibu mereka mengerat batang-batang kayu - mungkin untuk menyiapkan bahan bakar sebagai persediaan memasak makan malam mereka. Air mata terasa bergelinangan melihat keperitan hidup mereka. Tetapi juga siapa tahu, mungkin mereka senang menjalani kehidupan sebegini. Tidak perlu membayar bil air dan elektrik, bil Astro, bil parking, sewa rumah dan macam-macam bil lagi. Mungkin juga wang tidak memberi apa-apa makna buat mereka. Tetapi yang pasti, mereka melihat dan memandang kami dengan penuh kehairanan dan penuh pertanyaan sebagaimana kami melihat mereka dengan perasaan yang sama.

Artikel Lain