suria

Kaji Langkah Tangani Kenaikan Harga Barang - TPM

PAGOH: Kerajaan akan mengkaji langkah baru untuk menangani kenaikan harga barang bagi mengurangkan bebanan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata antara langkah berkenaan ialah membantu petani, penguatkuasaan undang-undang, imbuhan khas kepada rakyat dan menambah subsidi untuk rakyat selain subsidi minyak.

Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi mengkaji langkah berkenaan dan merumuskan formula untuk mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan kos harga barang-barang, kata Muhyiddin yang juga pengerusi jawatankuasa itu.

Langkah itu nanti akan menidakkan dakwaan bahawa kerajaan tidak ambil kisah mengenai beban yang ditanggung rakyat berikutan kenaikan harga barang-barang keperluan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan dan Pelancaran Program Doktor Masuk Kampung Parlimen Pagoh di sini, Sabtu.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menambah satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu yang berkaitan usaha untuk memerangi kos kehidupan yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga barang-barangan terutamanya makanan, yang dilihat sebagai fenomena global dan membebankan rakyat.

Artikel Lain