suria

12 Ekor Gajah Liar Mengamuk Di Kampung Seberang Star, Gua Musang

GUA MUSANG: 20 penduduk di Kampung Seberang Star, dekat sini, kerugian besar apabila kebun getah dan pisang seluas 2.4 hektar musnah diserang sekumpulan 12 ekor gajah liar sejak dua minggu lepas.

Malah, mereka juga tinggal dalam ketakutan kerana gajah liar terbabit pernah berkeliaran di kawasan kediaman setiap malam hingga memaksa penduduk berkumpul di luar rumah untuk menghalaunya.

Seorang penduduk, Zulkifli Seman, 46, berkata kebun getah bersama tanaman pelbagai jenis pisang yang diusahakan sejak tiga tahun lepas ranap sama sekali diserang sekumpulan gajah itu.

"Walaupun pokok getah yang ditanam itu belum boleh ditoreh, namun saya masih mengutip hasil tanaman pisang dengan memperoleh pendapatan lebih RM1,200 sebulan.

"Selepas kejadian itu, sampai sekarang saya kerugian kerana hilang punca pendapatan selain terpaksa menanam semula getah apabila semuanya musnah," katanya.

Beliau berkata pihaknya sudah melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) namun sehingga kini belum ada tindakan diambil untuk menghalau atau memindahkan kumpulan gajah terbabit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain