suria

23 Lagi Kawasan Parlimen Akan Tubuh Kompeni Askar Wataniah

BUTTERWORTH: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan sebanyak 23 Kompeni Askar Wataniah bagi kawasan Parlimen di Kedah, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Panglima Latihan TDM Mej-Jeneral Datuk Abdul Rahim Mohd Yusuff berkata kawasan-kawasan berkenaan belum mempunyai pasukan Askar Wataniah dan ia akan ditubuhkan secara berperingkat sehingga penghujung tahun ini.

"Sebanyak 23 kawasan Parlimen akan menubuhkan pasukan Askar Wataniah secara berperingkat tahun ini dan ia selaras dengan Prestasi Petunjuk Utama (KPI) Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu pelancarannya disempurnakan sebelum penghujung tahun," katanya semasa berucap melancarkan enam Kompeni Askar Wataniah di sini, Khamis.

Katanya setakat ini 199 kawasan Parlimen telah menubuhkan Kompeni Askar Wataniah bagi membantu ATM mempertahankan negara.

Penubuhannya diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2000 ketika beliau memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Abdul Rahim berkata penubuhan Kompeni Askar Wataniah di setiap kawasan Parlimen telah memberi impak dan kesan positif kepada masyarakat.

"Kita berupaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat termasuk individu yang boleh dijadikan ikon seperti selebriti, atlet sukan dan mereka yang mengharumkan nama negara dengan kebolehan tertentu," katanya.

Beliau berkata askar wataniah juga berupaya meniup semangat generasi baru untuk mencurahkan khidmat murni kepada negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain