suria

SKMM Diminta Bertegas Perbuatan Persenda 'Negaraku'

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta bertindak tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang menghina lagu kebangsaan, Negaraku.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad, berkata disebabkan penguatkuasan yang agak longgar dan tidak tegas, pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan mempersendakan Negaraku.

"SKMM perlu mengkaji semula dan memperketatkan undang-undang di bawah bidang kuasanya bagi memastikan tiada pihak berterusan menghina lagu Negaraku menerusi saluran multimedia.

"Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu mewujudkan modul khusus dalam usaha menerap nilai jati diri yang tinggi dalam kalangan pelajar supaya mereka sentiasa menghormati Perlembagaan Negara," katanya ketika diminta mengulas tindakan seorang bekas penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menghina lagu Negaraku dan pemerintah negara dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.

Sebelum ini, seorang pelajar dari sebuah univeristi di Taiwan, telah menghina lagu Negaraku menerusi klip videonya dalam YouTube, tetapi tidak dikenakan tindakan.

Syed Anuar berkata tindakan serta hukuman tegas wajar dikenakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan seperti itu sebagai pengajaran kepada pihak lain. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain