suria

12 Buah Rumah Hangus Terbakar Di Sentul

KUALA LUMPUR: Kira-kira 12 keluarga yang menghuni 12 buah rumah papan di Kampung Chubadak Jaya, Sentul, di sini, kehilangan harta benda apabila rumah mereka hangus sama sekali dalam satu kebakaran awal pagi Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata bagaimanapun tiada kematian mahupun kecederaan berlaku dalam kebakaran itu.

"Bomba menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira pukul 5.53 pagi ini sebelum jentera pertama tiba 12 minit kemudian. Kebakaran dilaporkan berlaku bermula di sebuah rumah, sebelum merebak ke rumah bersebelahan," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Azizan berkata tujuh jentera bersama 43 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Setapak, Gombak Selatan dan Chow Kit bergegas ke tempat kejadian yang pada waktu itu, api sedang marak.

"Pihak kami (bomba) masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain