suria

Tune Hotels Labur RM907 Juta Bina 30 Hotel Di Seluruh Dunia

JOHOR BAHARU: Tune Hotels akan melabur lebih RM907 juta untuk membina rangkaian 30 hotel di seluruh dunia dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Lankester berkata, hotel itu akan dibina di Malaysia, London, Indonesia, Filipina, Thailand dan Australia mulai tahun depan.

"Ini merupakan sebahagian daripada rancangan kami untuk memiliki 100 hotel di seluruh dunia menjelang 2015," katanya.

Lankester berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan tetamu ke-2 juta hotel itu di sini, Rabu.

Beliau berkata, buat masa ini, ia bersedia untuk membuka perniagaan hotelnya di Kulim, Langkawi, Ipoh (Malaysia); Manila (Filipina); Hatyai (Thailand); Edinburgh, Scotland dan London (UK).

Menurutnya, Greater London sahaja akan mempunyai 15 hotel di masa depan.

"Hotel pertama daripada 15 hotel, Tune Hotel di Westminster, mendapat sambutan baik daripada pelancong Eropah, yang sukakan konsep hotel bajet," katanya.

Lankester berkata, hotel itu akan bekerjasama dengan syarikat sekutunya (AirAsia) dan Tourism Malaysia untuk membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia.

Sementara itu, tetamu yang ke dua juta hotel tersebut yang diraikan adalah ahli perniagaan dari Indonesia, Budi Hariyanto, yang mendaftar masuk di Tune Hotel Danga Bay dengan isterinya Sandra Kartika Yuwono dan anak perempuan Stefani Hariyanto.

Pak Budi, yang memiliki PT Teknopak Industri, syarikat pembuatan tin komposit di Jakarta, memenangi penginapan percuma seumur hidup di Tune Hotel Danga Bay. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain