suria

13 Duta Terima Watikah Pelantikan Daripada Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Selasa menyerahkan watikah pelantikan kepada 13 ketua perwakilan Malaysia ke luar negara dalam satu istiadat di Istana Negara di sini.

Mereka terdiri Datuk Zainuddin Yahya (Duta Besar ke Belgium) Datuk Adnan Othman (Kuwait), Ahmad Shahizan Abd Samad (Bahrain), Datuk Badrudin Abdul Rahman (Sweden), Datin Paduka Halimah Abdullah (Itali), Datuk Ilankovan Kolandavelu (Sepanyol), Yean Yoke Heng (Croatia), Ayauf Bachi (Peru), Dr Ahmad Faisal Muhamad (Myanmar), Datuk Azmil Mohd Zabidi (Vietnam) dan Ganeson Sivagurunathan (Chile) manakala Datuk Mazlan Muhamad adalah Pesuruhjaya Tinggi ke New Zealand dan Azmi Zainudin, Pesuruhjaya Tinggi ke Sri Lanka.

Zainuddin, yang bertugas di Kementerian Luar sejak 1988, merupakan Timbalan Ketua Setiausaha di Jabatan Khidmat Pengurusan, Kementerian Luar sebelum dilantik ke jawatan terkini.

Beliau pernah bertugas sebagai Duta Malaysia ke Syria dan Ketua Pengarah, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia. Adnan, yang berkhidmat di Kementerian Luar sejak 1984, adalah Setiausaha Bahagian Afrika di Wisma Putra dan pernah bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Kemboja.

Ahmad Shahizan pula pernah bertugas sebagai Konsul Jeneral Malaysia di New York (2000-2004), Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan (2007-2009) dan Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (2009-2010).

Beliau merupakan Pengarah Sekretariat Kebangsaan Asean-Malaysia sebelum dilantik ke jawatan terkini.

Badrudin, yang bertugas di Kementerian Luar sejak 1983, merupakan Setiausaha Bahagian Kanan Direktorat Eropah, Amerika dan Afrika di Kementerian Luar sebelum dilantik sebagai duta manakala Halimah, yang berkhidmat di Kementerian Luar sejak 1979, adalah Duta ke Romania sebelum pelantikan terbaru ini.

Ilankovan adalah Duta Besar Malaysia ke Nepal bermula Disember 2007 sebelum dilantik menjadi Duta ke Sepanyol manakala Yean, yang berkhidmat di Kementerian Luar sejak 1988, pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Cuba selain menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah, Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Kementerian Luar Negeri dari tahun 2006 hingga 2008.

Ayauf, yang berkhidmat di Kementerian Luar sejak 1999, sebelum ini adalah Timbalan Ketua Protokol, Kementerian Luar manakala Ahmad Faisal merupakan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura sebelum dilantik ke jawatan terkini.

Azmil, yang bertugas di Kementerian Luar sejak 1992, adalah Setiausaha Bahagian Direktorat Kerjasama Serantau dan Ekonomi Pelbagai Hala, manakala Ganeson adalah Setiausaha Bahagian Jabatan Politik Pelbagai Hala sebelum dilantik ke jawatan terkini.

Mazlan yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia adalah Duta Besar Malaysia ke Myanmar dari Disember 2007 sehingga dilantik ke jawatan terkini.

Azmi, sebelum dilantik ke jawatan terkini, merupakan Setiausaha Bahagian Parlimen dan Pengurusan Kualiti. -BERNAMA

Artikel Lain