suria

ADUN Kesidang Digantung Sidang DUN Melaka Tiga Hari

MELAKA: Dewan Undangan Negeri Melaka pada Isnin menggantung Goh Leong San (DAP-Kesidang) daripada menghadiri persidangan selama tiga hari kerana gagal mematuhi peraturan dewan ketika berbahas mengenai isu mesin judi haram di negeri ini.

Speaker Datuk Wira Othman Muhamad yang menerima usul yang dikemukakan oleh Ketua Menteri Datuk Mohd Ali Rustam berkata tindakan itu adalah mengikut peraturan dan tatatertib dewan Perkara 31 (1) dan (2) dan Perkara 34 (3), yang menyebut bahawa seseorang ahli dewan yang berdegil dan beberapa kali diminta duduk tetapi tidak memberhentikan ucapan dan gagal mematuhi arahan Speaker, boleh digantung daripada menghadiri persidangan dewan.

Isu bermula apabia Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Mohamed Yunos Husin, ketika menjawab soalan tambahan oleh Goh, berkata isu mesin judi itu tidak boleh disekat kerana bagi masyarakat Cina, judi adalah budaya mereka.

Goh, yang juga Pengerusi DAP Melaka, tidak berpuas hati dengan jawapan Mohamed Yunos dan memintanya menarik balik ayat "perjudian adalah budaya bagi kaum Cina" yang tidak dilayan oleh anggota exco itu.

Dua penyokong kerajaan, Datuk Hassan Abdul Rahman (BN-Sungai Rambai) dan Datuk Yaakub Md Amin (BN-Sungai Udang), meminta Speaker supaya tidak melayan kerenah Goh sebaliknnya mahu wakil DAP itu digantung kerana melanggari peraturan mesyuarat. Goh, dalam soalan asalnya, bertanya pendirian kerajaan negeri Melaka dan polis terhadap mesin haram, yang dijawab oleh Mohamed Yunos bahawa kerajaan negeri tidak mengeluarkan lesen mesin judi sebaliknya dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Kewangan.

Selepas berlaku perbalahan antara Goh dan kedua-dua penyokong kerajaan itu, dewan ditangguhkan 10 minit dan selepas bersidang semula, Mohd Ali bangun mencadangkan Goh digantung selama tiga hari mengikut peraturan mesyuarat 34 (3).

Cadangan Ketua Menteri itu mendapat sokongan majoriti anggota dewan.

BN mempunyai 23 wakil dan DAP lima.

Mohd Ali memberitahu pemberita di luar dewan bahawa beliau kecewa dengan tindak tanduk Goh yang enggan duduk walaupun setelah diarah oleh Speaker.

"Isu budaya kaum itu adalah satu terminologi perkataan kerana kita tahu secara umum bahawa mesyarakat Cina gemar berjudi dan menjadi budaya mereka, bahkan orang Melyu juga ada yang berjudi tetapi mereka boleh didakwa mengikut kesalahan undang-undang syariah," katanya.

Goh ketika ditemui pemberita berkata beliau berasa sedih kerana bahasa yang digunakan oleh Mohamed Yunos telah menghina kaum Cina.

Persidangan dewan ditangguhkan awal hari ini dan akan disambung esok. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain