suria

Peguam Terkemuka Raja Aziz Addruse Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz Addruse, 75, meninggal dunia di kediamannnya di Bukit Tunku, tengah hari Selasa.

Beliau pernah menjadi Presiden Majlis Peguam sebanyak tiga kali iaitu 1976-1978, 1988-1989 dan 1992-1993.

Peguam terkenal itu pernah mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes rasuahnya pada tahun 1998.

Raja Aziz Addruse merupakan antara peguam terkemuka dan paling disegani di Malaysia, berasal dari Chemor, Perak.

Sebelum ini beliau telah menerima rawatan di Singapura kerana penyakit berkaitan kanser dan dilaporkan beransur pulih.

Rakan rapat beliau Datuk Param Cumaraswamy yang dihubungi Bernama berkata keadaan kesihatan Raja Aziz tiba-tiba merosot beberapa hari lepas dan beliau mengunjungi peguam terkenal itu dua hari lepas.

"Walaupun berkeadaan lemah, tapi beliau tetap bersemangat dan kami sempat berjenaka," kata Param.

Beliau berkata, jenazah Raja Aziz akan disembahyangkan di Masjid Bukit Kiara sebelum waktu zohor, Rabu, dan akan disemadikan di tanah perkuburan berhampiran.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang dihubungi Bernama hari ini berkata Raja Aziz adalah seorang insan yang berintegriti tinggi dan lelaki budiman yang sentiasa menghormati lawannya.

"Ada beberapa kali, beliau merujuk undang-undang kes yang tidak menggembirakan anak guamannya sendiri, tapi ia semata-mata bertujuan untuk membantu mahkamah membuat keputusan yang tepat," kata Mohamad Yusof.

Beliau berkata, Raja Aziz dipandang tinggi dalam dunia guaman, terutama kerana sikap beliau yang amat bersopan-santun dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya terhadap lawan beliau.

Malah beliau juga pernah dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ) yang berpejabat di Geneva pada 2006.

Rakyat Malaysia lain yang pernah menyandang jawatan itu sebelum beliau ialah Param sendiri dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Suffian Hashim. - BERNAMA

Artikel Lain